Program Smart Urban Farming Mampu Tingkatkan Kedudukan Sosio-Ekonomi Masyarakat

ISNIN, 13 FEBRUARI 2023

KUCHING: Program Pertanian Bandar Pintar (Smart Urban Farming) Fasa 2 mampu meningkatkan kedudukan Sosio-ekonomi masyarakat khususnya di Sarawak.

Objektif utama Program Fasa 2 Smart Urban Farming ini memfokuskan matlamat yang penting seperti meningkatkan sosio-ekonomi masyarakat dan kemapanan kewangan bagi mewujudkan kesedaran dan kesediaan mengenai pertanian pintar dalam kalangan masyarakat di bandar. 

Selain itu, ianya juga untuk membangunkan rantaian bekalan program holistik yang mampu mewujudkan ketahanan sosio-ekonomi dalam kalangan masyarakat yang memerlukan (kemiskinan bandar).

Timbalan Ketua Penasihat Ekonomi Digital Sarawak, Sarawak Multimedia Authority (SMA), Prof. Ir. Ts. Dr. Al-Khalid Othman mengucapkan syabas dan tahniah kepada masjid dan surau atas kejayaan mereka dalam melaksanakan projek Smart Urban Farming Fasa 1 dengan membuahkan hasil yang memberangsangkan.

Beliau turut berharap Projek Smart Urban Farming Fasa 2 ini dapat dilaksanakan dengan jayanya di semua masjid yang dipilih dan membuahkan hasil yang lumayan secara langsung dan mendapat sambutan yang baik serta disokong dari pelbagai pihak terutamanya daripada sektor industri.

“Kepada mereka yang dapat mengadaptasikan diri dengan teknologi baharu secara langsung dapat memajukan komuniti terutamanya dalam masyarakat yang memerlukan,” katanya dalam program Projek Penyerahan Smart Urban Farming 2023, di Bangunan Sarawak Multimedia Authority (SMA), Kuching pada Isnin. 

Dalam pada itu, terdapat 20 buah masjid dan surau telah dipilih bagi melaksanakan Program Fasa 2 Smart Urban Farming Fasa 2.

Setiap masjid atau surau akan diperuntukkan sebanyak 900 pots sayuran dengan jumlah pots sayuran untuk semua masjid atau surau adalah sebanyak 18,000 pots.

Sehubungan itu, pemerhatian Fasa 1 Smart Urban Farming, hasil perolehan daripada lima buah masjid itu menunjukkan impak yang positif dari segi pendapatan komuniti.

Masjid Darul Khatimah, Semerah Padi berjaya menjana hasil jualan tertinggi iaitu sebanyak RM3,039.00 bagi tiga kali tuaian. 

Manakala Surau Al Ansar, Taman Yen Yen telah menjana hasil jualan sebanyak dua kali RM1,946. 

Surau Darul Qarar, Patingan berjaya menuai hasil pertama dengan jualan sebanyak RM1,900 dan Surau Nurul Salihin, Bako Hijrah berjaya mengutip hasil jualan sebanyak RM370 untuk sekali tuaian. 

Jumlah pendapatan yang telah dihasilkan oleh lima buah masjid ini adalah sebanyak RM7,255.

Hadir sama Pengurus Pentadbiran CENTEXS Commercial Nur A’fini Ro’ani, Timbalan Pengarah Akademi Industri Centre of Technology Excellence Sarawak (CENTEXS) Dr Nadianatra Musa serta tetamu lain.-EDISI UKAS

add comment