Warga Sarikei Sambut Baik Program JDTL

ISNIN, 13 FEBRUARI 2023

SARIKEI : Program Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) yang julung kali diadakan di sini telah mendapat sambutan yang amat baik dari warga Sarikei. 

Dengan penyertaan seramai 15 orang peniaga, program anjuran Pejabat Fama Bahagian Sarikei dengan kerjasama Pengurusan Downtown Taman Selera Kampung Seberang itu berlangsung pada 11 Febuari 2023 bermula jam 4 petang sehingga 10 malam dengan tujuan untuk mengurangkan kos sara hidup dan memberi tumpuan dalam aspek makanan berasaskan pertanian.

Antara objektif lain program ini adalah untuk meningkatkan “accessibility” dan “availability” bagi memudahkan pengguna mendapatkan bekalan produk-produk segar pada kadar harga yang munasabah dan berpatutan  serta membuka pasaran baharu dan meningkatkan pendapatan peserta program ladang kontrak dengan konsep jualan secara terus kepada pengguna.

Selain itu ianya juga sebagai satu program berimpak tinggi yang berteraskan penjimatan dan mengurangkan kos sara hidup rakyat.

Dalam pada itu, rata-rata peniaga yang menyertai program ini amat berpuas hati berikutan sambutan di luar jangkaan dan berterima kasih kepada FAMA Bahagian Sarikei atas usaha yang dilakukan bagi memberikan impak positif kepada pengusaha dan pembeli.

“Saya berterima kasih kepada FAMA atas kerjasama menjayakan program ini dan berharap ia dapat diteruskan pada masa depan dengan lebih ramai penyertaan daripada peniaga dan juga agensi kerajaan yang lain,” kata wakil Pengurusan Downtown Taman Selera Kampung Seberang Allif Omar Yunus. 

Sementara itu, Pengurus F Mart Dayang Siti Hajar turut teruja dengan sambutan orang ramai yang mahu mendapatkan barangan keperluan asas pada kadar lima hingga sepuluh peratus lebih rendah dari harga pasaran.

Manakala, pengusaha tanaman Salad di Kampung Seberang Sarikei Izzat Al Hadir menzahirkan perasaan gembira atas sambutan yang diberikan meskipun cuaca tidak mengizinkan pada hari tersebut. 

“Program sebegini memudahkan petani kecilan untuk memasarkan hasil terus kepada pembeli,” katanya. 

Justeru pelbagai barangan keperluan asas telah ditawarkan kepada pengguna seperti minyak masak, sayur-sayuran, buah-buahan, hasil laut, ternakan dan barangan siap proses. -Edisi UKAS

add comment