SELASA, 14 FEBRUARI 2023
DARO: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad telah mengumunkan peruntukan sebanyak RM8,000 kepada Persatuan Ibu Bapa Dan Guru (PIBG) Sekolah Rendah (SK) Hijrah Badong dan RM5,000 kepada Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).
Selain itu, beliau turut memaklumkan kelulusan projek daripada Kerajaan Sarawak, membina sebuah Dewan SK Hijrah Badong untuk kemudahan pihak sekolah khususnya para pelajar dengan peruntukan RM450,000 yang akan dibina sebaik sahaja mendapat persetujuan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.
Beliau memaklumkan peruntukan tersebut ketika merasmikan Majlis Apresiasi SK Hihrah Badong, Daro di SK Hijrah Badong, Daro pada Selasa.
Semasa berucap, beliau menekankan peranan ibu bapa yang harus peka terhadap anak-anak agar tidak terlibat dalam perkara yang tidak sihat.
Jelasnya, sejak di peringkat sekolah rendah, ibu bapa harus memberi perhatian khusus kepada anak-anak dan perlu mengambil tahu tentang tugasan dan pembelajaran anak-anak supaya mereka merasai keprihatinan ibu bapa.
“Kalau boleh luangkan masa untuk membuka beg anak untuk mengetahui apa yang dibawa mereka dan apa yang diperlukan mereka.
“Pada masa sekarang yang mana dunia media sosial yang tanpa sempadan boleh menerapkan budaya yang tidak baik,” tambahnya.
Dalam majlis itu, Safiee turut menyempurnakan penyampaian sijil tamat darjah 6, pra sekolah dan PPKI.
Hadir sama Timbalan PPD Daro Junaidi Mohamed, Guru Besar SK Hijrah Badong Maryana Mohiddin, Penolong PPD Daro Aruan Samion dan YDP PIBG SK Hijrah Badong Manisah Ayub.-EDISI UKAS