Ketersediaan Perkhidmatan RSK Sibu, Bantu Warga Emas

SELASA, 14 FEBRUARI 2023

SIBU: Ketersediaan perkhidmatan Rumah Seri Kenangan (RSK) Sibu untuk warga emas yang memerlukan penjagaan dan pembelaan dapat dibantu.

RSK ditubuhkan untuk memberi jagaan dan perlindungan kepada mereka yang memerlukan bagi meneruskan kehidupan. 

Kriteria kemasukan ke RSK adalah seperti daif dan berumur 60 tahun ke atas, tidak menghadapi penyakit berjangkit, tidak mempunyai keluarga atau penjaga dan tidak mempunyai tempat tinggal yang tetap berupaya menjaga diri sendiri.

Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Mohamad Razi Sitam, kemasukan ke RSK adalah melalui Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian atau Daerah yang berhampiran dengan menggunakan borang yang disediakan. 

Jelasnya, setiap permohonan akan disiasat terlebih dahulu sebelum disyorkan oleh Pegawai Kebajikan Masyarakat Bahagian dan seterusnya diluluskan oleh Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak. 

Beliau berkata demikian pada Majlis Hi Tea sempena Tahun Baru Cina & Chap Goh Mei 2023 di Rumah Seri Kenangan Sibu (RSK) pada Isnin.

Dalam pada itu, seramai 28 orang penghuni RSK Sibu diraikan pada sambutan ini.

Namun hanya 16 orang penghuni yang sihat dapat menyertai majlis dan selebihnya mempunyai masalah kesihatan serta memerlukan penjagaan.

Menurut Mohamad Razi, sambutan Tahun Baru Cina ini dapat mengeratkan silaturahim antara penghuni yang terdiri dari pelbagai kaum. 

Tambahnya penghuni akan berasa gembira dan rasa disayangi orang komuniti setempat.

Turut hadir Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak Adana Jed, wakil Residen Pejabat Residen Bahagian Sibu Diana Toh Kah Yien, Wakil Pegawai Daerah Pejabat Daerah Bahagian Sibu Cynthia Ong Hsiang Ping, wakil Pegawai Kebajikan Masyarakat Bahagian Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Sibu Mohamad Syafiq Mohamad Alwi, Pengetua Rumah Seri Kenangan Sibu Siti Afiah Samat, Timbalan Pengerusi Ahli Lembaga Pelawat Rumah Seri Kenangan Sibu Pemanca Sharifah Aini Sayeed Alwie, PAWE Sibu, Ketua-ketua jabatan serta jemputan lain. -EDISI UKAS

add comment