Penduduk Gesa Klinik Komuniti Mukah Kembali Beroperasi Ikut Jam Asal

SELASA, 14 FEBRUARI 2023

MUKAH: Penduduk di Mukah berharap Klinik Komuniti yang terletak di Pasar Lama Mukah akan kembali beroperasi mengikut masa operasi sebelum ini iaitu dari jam 9 pagi hingga 9 malam.

Bagi penduduk di situ, masa operasi sedia ada iaitu dari jam 11 pagi hingga 8 malam amat menyukarkan pesakit dan rakyat kerana terpaksa menunggu lama.

Ia menyebabkan ramai penduduk merungut dengan keadaan tersebut dan situasi ini tambah menyukarkan lebih-lebih lagi bagi penduduk yang datang dari kawasan pedalaman untuk mendapatkan perkhidmatan dan rawatan klinik berkenaan.

Prihatin dengan situasi berkenaan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Tellian turun padang untuk meninjau klinik yang dahulunya dikenali sebagai Klinik 1Malaysia pada Isnin.

Dalam lawatan tersebut, Royston berkesempatan mendapatkan pemeriksaan kesihatan dan berharap agar masa beroperasi ini perlu dikaji semula bagi memastikan perkhidmatan kesihatan ini ditahap yang optimum untuk rakyat.

Untuk rekod, klinik ini telah memulakan operasi sejak 25 Oktober 2012 dan telah memberikan perkhidmatan yang cemerlang kepada penduduk di kawasan Mukah dan sekitarnya.

Pembukaan klinik ini juga sedikit sebanyak telah mengurangkan kesesakan di Hospital Mukah pada kebiasaannya.

Selepas pandemik Covid-19, waktu beroperasi klinik itu telah diubah kepada jam 11 pagi hingga 8 malam berbanding waktu asal berikutan pekeliling yang telah diarahkan oleh Kementerian Kesihatan. – EDISI UKAS

add comment