Datuk Len Terima Kunjungan Hormat Jawatankuasa Kerja DTTS Kampung Baru Seberang

RABU, 15 FEBRUARI 2023

SARIKEI: Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah Dan Alam Sekitar Sarawak merangkap ADUN Kuala Rajang, Datuk Len Talif Salleh menerima kunjungan hormat dari Jawatankuasa kerja Downtown Taman Selera (DTTS) Kampung Baru Seberang yang diketuai Allif Omar Yunus bersama beberapa orang ahli jawatankuasa.

Datuk Len merupakan penggerak utama dalam penubuhan DTTS hampir setahun yang lalu bagi membantu para peniaga kecil di Sarikei menjana ekonomi terutamanya yang terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu.

DTTS Kampung Seberang kini sudah dikenali ramai dan menjadi pusat jualan para peniaga memasarkan masing-masing.

Pertemuan pada Rabu juga bagi menjelaskan program yang bakal diadakan pada bulan Mac dan April ini yang dijangka menjadi tumpuan ramai iaitu Program Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) dengan kerjasama pihak Pejabat FAMA Bahagian Sarikei yang bakal diadakan pada 17 dan 18 Mac ini dan juga Bazar PosaRaya bermula 23 Mac sehingga 21 April.

Pihak Pengurusan DTTS turut menjelaskan kepada Datuk Len tentang penyertaan peserta bagi program Bazar PosaRaya yang akan diadakan bertempat di Downtown Taman Selera nanti.

Sehubungan itu, Datuk Len menyarankan agar pihak pengurusan DTTS membuat permohonan segera kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi pemasangan bekalan elektrik dan juga air bagi kemudahan para penjaja sepanjang Bazar PosaRaya berlangsung.

Datuk Len juga mengambil peluang ini bagi menjelaskan tentang pelan jangka panjang untuk kawasan berkenaan di mana ianya dapat memberi manfaat besar kepada masyarakat sekitar terutamanya penganjuran aktiviti jualan yang diadakan waktu ini. – EDISI UKAS

add comment