Dr Ripin Santuni Masyarakat Tukau & Bakam Dalam Program Sambutan Tahun Baharu Cina

RABU, 15 FEBRUARI 2023

LAMBIR: Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dr Ripin Lamat telah meluangkan masa untuk menyantuni masyarakat setempat khususnya dari Tukau dan Bakam dalam sebuah program Sambutan Tahun Baharu Cina yang diadakan di Dewan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Tukau di sini, baru-baru ini.

Program tersebut disambut baik dengan masyarakat Cina daripada pelbagai peringkat umur hadir untuk beramah mesra dan menikmati kemeriahan sempena sambutan tersebut.

Dr Ripin ketika berucap menzahirkan perasaan gembira atas semangat keharmonian yang ditunjukkan oleh masyarakat dari kawasan Tukau dan Bakam.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lambir berharap agar tahun arnab ini akan membawa lebih reziki dan kesihatan kepada para penduduk.

Beliau turut menyatakan persetujuan untuk kerja-kerja penambahbaikan bumbung Dewan SUPP Tukau supaya dapat menampung lebih ramai orang pada masa akan datang.

Pada program itu, seramai 40 buah keluarga termasuk kanak-kanak dan warga emas dari golongan miskin tegar turut mendapat sumbangan  berupa ‘angpau’ daripada Dr Ripin. – EDISI UKAS

add comment