RABU, 15 FEBRUARI 2023
MIRI: Kerajaan Sarawak mungkin menggunakan teknologi ‘cold in-situ pavement recycling’ (CIPR) bagi menaik taraf bekas jalan balak dan jalan ladang.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, teknologi itu akan mempercepatkan usaha menaik taraf banyak lagi bekas-bekas jalan tersebut di luar bandar.
Beliau berkata demikian semasa mengadakan lawatan ke projek Jalan Ulu Suai di sini, pada Rabu.
Projek sepanjang 18.99 kilometer yang menelan kos sebanyak RM68 juta itu kini telah siap sepenuhnya.
Projek yang menggunakan teknologi CIPR tersebut adalah untuk menaik taraf jalan kerikil/tanah menjadi jalan standard JKR R3.
Kerja-kerja merangkumi penambahbaikan sistem perparitan termasuk penggantian pembentung, pembinaan pembentung baharu, parit dan saliran di cerun.
Hadir sama dalam lawatan tersebut Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Majang Renggi dan Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri, Ir Richard Tajan. -EDISI UKAS