RABU, 15 FEBRUARI 2023
LIMBANG: Pelbagai aktiviti dan kejohanan sesuai akan dimasukkan dalam kalender Jawatankuasa Perayaan Utama Daerah Limbang untuk memeriahkan suasana kawasan setempat.
Menurut Timbalan Menteri Industri Makanan, Komiditi dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, ia sebagai mempromosikan lagi daerah tersebut kepada orang ramai.
Mengambil contoh Pertandingan Memanah Tradisional Limbang 2023 yang disertai seramai 41 peserta lelaki dan 19 peserta wanita, beliau berkata, pertimbangan akan dibuat untuk kemungkinan pertandingan memanah ini untuk dimasukkan dalam kalender pada tahun hadapan.
“Selain itu, pada tahun ini kita juga berjaya memasukkan Kejohanan Tarik Tali Antarabangsa dan Kejohanan Petanque dalam kalender Jawatankuasa Perayaan Utama Daerah Limbang.
“Aktiviti yang masuk dalam kalender tersebut memang akan ada peruntukan khas setiap tahun yang mana kebiasaannya akan dianjurkan oleh persatuan dan akan dibantu oleh agensi-agensi kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pertandingan Memanah Tradisional Limbang 2023 di Sekolah Kebangsaan (SK) Limbang baru-baru ini.
Jelasnya lagi, beliau akan terus membantu aktiviti-aktiviti yang telah dirancang selagi masih menjadi wakil rakyat.
“Memang dari dulu saya ingin mempromosikan daerah Limbang sebagai pusat sukan lasak.
“Dulu kita pernah menganjurkan motocross, drag race, strong man, tarik tali, body builder dan mungkin memanah ini pun boleh kita kategorikan sebagai sukan lasak,” ujarnya.
Justeru beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota berharap sukan memanah ini diiktiraf oleh kerajaan dan boleh dijadikan pekerjaan secara profesional.
Turut hadir, Pengerusi Kelab Memanah Elite Limbang Busrah Tani, Ketua Rombongan SBAC Negara Brunei Darussalam Mazlan Badul, KMPP Wilayah Persekutuan Labuan Jihanna Hamjani dan Hamzah Kario dari Kelab Al Ehsan. -EDISI UKAS