Perusahaan Sarang Burung Walit Tingkat Pendapatan Penduduk Marudi

RABU, 15 FEBRUARI 2023

MARUDI: Perusahaan sarang burung walit mampu menjadi pemangkin kepada peningkatan pendapatan penduduk di daerah Marudi.

Menurut Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Dr Penguang Manggil, ini berikutan kehadiran pengusaha sarang burung tersebut yang datang dari kawasan luar seperti Bintulu, Sibu Kuching, Sabah dan Semenanjung Malaysia ke daerah tersebut.

“Kehadiran mereka dapat mempromosikan daerah itu kepada masyarakat luar.

“Dalam pada itu, saya mencadangkan untuk penubuhan sebuah Persatuan Burung Walit Sarawak bagi memudahkan urusan berkaitan pemasaran sarang burung walit ke Semenanjung Malaysia dan juga peringkat antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Ulang Tahun Ke-5 Pertubuhan Persatuan Burung Walit dan Pertanian Baram di Dewan Suarah Marudi baru-baru ini.

Pada majlis itu, Datuk Dr Penguang telah menyumbangkan peruntukan sebanyak RM10,000 kepada Persatuan Burung Walit dan Pertanian Baram.

Turut memberi sumbangan kepada persatuan itu ialah Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala sebanyak RM10,000 dan RM5,000 dari Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau.

Untuk rekod, jumlah ahli yang berdaftar dengan Persatuan Burung Walit dan Pertanian Baram kini mencecah 203 orang. –EDISI UKAS

add comment