RABU, 15 FEBRUARI 2023
MIRI: Varieti nanas baharu iaitu Sarawak Gold (SG1) kini dilancarkan dan mampu menjadi satu lagi punca pendapatan untuk petani tempatan.
Didaftarkan secara rasmi pada 13 Disember 2022 oleh Jabatan Pertanian Malaysia dan direkodkan sebagai salah satu di dalam Senarai Daftar Varieti Tumbuhan Kebangsaan, nanas SG1 ini akan memberikan lebih banyak pilihan alternatif kepada pengusaha tanaman nanas dalam memilih jenis untuk diusahakan berdasarkan permintaan setempat atau yang diterima.
Menurut Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, varieti ini mampu ditanam secara padat dalam kawasan tani, seterusnya menghasilkan jumlah yang lebih untuk dieksport.
“Jadi kita lihat, ini mampu menghasilkan pulangan yang baik terutamanya untuk para petani luar bandar yang termasuk dalam golongan B40.
“Sekitar 20,000 buah dapat dihasilkan untuk ladang seluas satu ekar. Secara purata, buahnya sahaja dapat dijual pada RM5 sebiji.
“Oleh itu, ladang seluas satu ekar mampu memberikan pulangan jualan buah sekitar RM6,000 untuk seorang petani,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Varieti Nanas “Sarawak Gold (AC16)” di Pusat Pengumpulan TG Agro Fruits Sdn Bhd, Sungai Tukau di sini pada Selasa.
Dato Sri Dr Stephen Rundi menambah, setiap komponen daripada tanaman nanas tersebut juga dapat dimanfaatkan untuk menghasilkan produk lain selaras dengan pendekatan industri hiliran termasuk konsep ekonomi kitaran.
“Ini bermaksud setiap hasil akan digunapakai tanpa dibazirkan untuk membuat produk-produk lain seperti baju, benang, kertas dan makanan. “Jadi, saya difahamkan untuk tanaman SG1 seluas satu ekar, ia akan memberikan hasil sebanyak hampir RM1 juta setahun,” ujarnya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena turut menegaskan bahawa industri nanas secara keseluruhannya mempunyai potensi yang tinggi dan harus dimanfaatkan memandangkan Sarawak masih mempunyai kawasan luas untuk tanaman lain selain sawit.
Dalam pada itu, Dato Sri Dr Stephen Rundi menaruh harapan agar Sarawak mempunyai tanah seluas sekurang-kurangnya 20,000 hektar yang diusahakan untuk tanaman nanas menjelang tahun 2030.
Antara hadir sama, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (Industri Makanan) Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (Komoditi dan Pembangunan Wilayah) Martin Ben, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dr Ripin Lamat, Residen Bahagian Miri Abdul Aziz Mohd Yusuf, Ketua Pengarah Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia Mohd. Khairuzamri M. Salleh, Pengarah Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia Negeri Sarawak Mohammad Suffian Sahmat dan Pengarah Urusan TG Agro Fruits Sdn Bhd Dato’ Yap Foot Loy. -Edisi UKAS