KHAMIS, 16 FEBRUARI 2023
MERADONG: Mangsa kebakaran Rumah Panjang Dangat di sini terus mendapat bantuan dari pelbagai pihak.
Terbaru, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing menghulurkan sumbangan sebanyak RM300 kepada setiap pintu mangsa kebakaran tersebut.
Dalam majlis ringkas pada Rabu, beliau mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Kebajikan Daerah Meradong kerana sentiasa menyalurkan bantuan seperti makanan pagi, tengahari dan makan malam kepada mangsa kebakaran.
“Saya berharap mangsa kebakaran sentiasa bertabah untuk menghadapi dugaan berkenaan.
“Kerajaan Sarawak di bawah pucuk pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr. Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg akan sentiasa membantu dalam pembinaan rumah panjang baharu pada masa akan datang,” katanya.
Selain itu, bantuan bencana turut disalurkan melalui Jabatan Kebajikan seperti bahan binaan (RM5,000 setiap pintu), pakaian harian (RM200 setiap mangsa), wang saku (RM100 setiap mangsa), pakaian sekolah RM200 (setiap mangsa), peralatan sekolah (RM100 setiap mangsa), peralatan dapur (RM700 setiap pintu) dan kelengkapan tidur (RM100 setiap mangsa).
Di samping itu, Persatuan Bulan Sabit Merah Sarikei turut menyumbang peralatan kesihatan manakala Persatuan Ibu Bapa Dan Guru (PIBG) Sekolah Jenis Kebangsaan Cina SJKC Kai Sing turut menyumbang pakaian, beg sekolah serta makanan.
Hadir sama Pemangku Pegawai Daerah Meradong Thomas Geoffrey Kendawang, Pengerusi Parti SUPP Cawangan Nangka Sibu Chua Beng Seng, Pengerusi Parti SUPP Cawangan Dalat Mukah Goh Kien Ming serta tetamu lain.-EDISI UKAS