KHAMIS, 16 FEBRUARI 2023
BARAM: Kerajaan Sarawak sentiasa membantu dalam membaik pulih kemudahan di sekolah-sekolah luar bandar.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala berkata, meskipun bidang pendidikan di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan, namun kerajaan Sarawak tetap menyalurkan dana bagi tujuan baik bulih sekolah-sekolah.
Malah menurutnya, terbaharu kerajaan Sarawak menerusi pihaknya telah memperuntukkan dana sebanyak RM400,000 untuk membaik pulih sekolah-sekolah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mulu.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan dan Graduasi Sekolah Kebangsaan (SK) Long Banga di Dewan Masyarakat Kampung Long Banga pada Rabu.
Datuk Gerawat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu menambah, kerajaan Sarawak kini dalam proses untuk membangunkan lima buah sekolah antarabangsa di negeri ini.
Dalam program sama, beliau turut menyerahkan sumbangan Projek Kecil Luara Bandar (MRP) untuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Long Banga sebanyak RM10,000. –EDISI UKAS