Rebut Peluang Ekonomi, Pelancongan Di Sarawak

KHAMIS, 16 FEBRUARI 2023

BETONG: Golongan pelajar khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Saribas digesa mendapatkan pendidikan terbaik bagi membolehkan mereka merebut peluang ekonomi dan pelancongan di Sarawak.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak Dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Mohammad Razi Sitam berkata, negeri ini dijangka menjadi sumber ekonomi negara dalam tempoh dua tahun akan datang.

Katanya, ini disokong dengan pemindahan ibu negara Indonesia ke Kepulauan Borneo.

“Justeru, adalah penting untuk anak-anak Sarawak berusaha mendapatkan pendidikan yang sebaik mungkin,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Khatam Al-Quran Peringkat Sekolah Kebangsaan (SK) Serembang pada Rabu.

Tambahnya, kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan  Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg amat mementingkan bidang pendidikan dan ini dibuktikan melalui penubuhan Sekolah Antarabangsa di bawah Yayasan Sarawak.

“Ia merupakan sekolah yang percuma untuk keluarga bagi kategori B40 dan terdapat bayaran dikenakan kepada keluarga kategori M40.

“Saya berkongsi perkara ini supaya ibu bapa boleh melihat pilihan sekolah untuk menghantar anak-anak mereka,” katanya.

Sementara itu katanya, beliau akan berusaha membantu pihak sekolah membuat pendawaian semula Dewan SK Serembang dan memohon pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) menetapkan spesifikasi yang diperlukan bagi kos keseluruhan pendawaian tersebut.

Pada sebelah petang pula, Mohammad Razi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas telah mempengerusikan mesyuarat ringkas bersama ketua masyarakat Daerah Kecil Debak bagi membincangkan tentang pelaksanaan Debak Fest 2023.

Menurut Mohammad Razi, beliau meminta agar Debak Fest dianjurkan semula bagi membantu meningkatkan ekonomi penduduk di Daerah Debak dan sekitar. -Edisi UKAS

add comment