KHAMIS, 16 FEBRUARI
MERADONG: Tabika dan Taska Kemas melaksanakan program dan aktiviti yang cukup baik untuk perkembangan kanak-kanak bagi menjadikan mereka lebih berkeyakinan, berkemahiran dan aktif.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata sifat dan kelakuan anak-anak seperti kurangnya keyakinan diri, pendiam dan pemalu dapat diatasi setelah mengikuti pendidikan di Tabika dan Taska Kemas secara amnya.
“Aktiviti seperti bersukan, bercerita, menyanyi, mengaji, menghasilkan buku skrap, kawasan graffiti dan sebagainya sebenarnya merupakan aktiviti yang merangsang kreativiti kanak-kanak yang dijana selaras dengan matlamat pendidikan awal kanak-kanak.
“Ini adalah untuk menyuburkan potensi murid dalam semua aspek pembangunan, menguasai kemahiran asas dan memupuk sikap positif sebelum mereka memasuki peringkat sekolah rendah.”
Beliau berkata demikian dalam Majlis Hari Apresiasi Kanak-Kanak Tabika Dan Taska Kemas Sarikei Sesi Tahun 2022/2023 di Dewan Suarah Sarikei pada Rabu.
Mengulas lanjut, Datuk Ding berkata banyak negara luar mencemburui sistem pendidikan negara ini yang lengkap dari segi akademik, kokurikulum, sahsiah dan akhlak bermula di usia kanak-kanak sehinggalah dewasa berbanding di negara-negara membangun yang lain.
Jelasnya, kerajaan sentiasa mengambil berat terhadap aspek pendidikan bagi melahirkan modal insan yang berguna pada masa hadapan.
“Saya berharap ibu bapa memainkan peranan besar dengan memberi kerjasama kepada Tabika dan Taska Kemas bagi memastikan segala program dan aktiviti yang dirancang dapat dilaksanakan sekaligus memberi manfaat kepada perkembangan anak-anak,” tambahnya.
Hadir sama Timbalan Pengarah Pendidikan Awal Kanak-Kanak KEMAS Negeri Sarawak Rosalind Wilson Laing, wakil Pegawai Daerah Sarikei AO Jayrome, Penolong Pegawai Komuniti dan Kemahiran KEMAS Parlimen Sarikei Bangie Mujap serta tetamu lain.-EDISI UKAS