Pelajar Diseru Ceburi Bidang STEM

JUMAAT, 17 FEBRUARI 2023

BETONG: Para pelajar di negeri ini diseru untuk menceburi bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). 

Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Gerald Rentap Jabu berkata, ini sejajar dengan polisi kerajaan Sarawak yang bergerak ke arah ekonomi digital dengan penggunaan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) dan ekonomi hidrogen. 

“Bidang STEM merupakan peluang baharu dalam menjana pendapatan kepada rakyat di negeri ini.

“Perkara ini memerlukan banyak modal insan yang berkemahiran di masa depan dan kita mahu anak jati Sarawak berpeluang melibatkan diri dalam aktiviti ekonomi ini,” ujarnya. 

Beliau berucap demikian semasa merasmikan Majlis Apresiasi Kecemerlangan Pelajar, Graduasi Prasekolah dan Tahun 6 2022-2023 di Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Ajau, Betong pada Khamis. 

Dato Gerald turut berkongsi mengenai program tuisyen di peringkat komuniti melalui Jawatankuasa Pembangunan Pendidikan DUN Layar.

Katanya, beberapa rumah panjang telah menyertai program itu yang membudayakan anak-anak meluangkan masa dengan belajar melalui bimbingan tutor sukarela dari rumah panjang mereka sendiri.

“Program ini akan diteruskan dengan memperkenalkan ‘Jolly Phonics’ sebagai kaedah belajar Bahasa Inggeris yang lebih mudah,” jelasnya.

Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah wakil Pegawai Pendidikan Daerah Betong Nana Linggang, Guru Besar SK Nanga Ajau James Ali, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa & Guru SK Nanga Ajau Rahynold Rehengia Gagat serta tetamu lain. -Edisi UKAS

add comment