Progam ‘57Hope’ Bantu Pelajar Kurang Berkemampuan Lanjut Pengajian

JUMAAT, 17 FEBRUARI 2023

MUKAH: Progam ‘57Hope’ diwujudkan bagi membantu pelajar di kawasan Tellian melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata,

nama ‘57Hope’ diambil sempena nama Dewan Undangan Negeri (DUN) Tellian dan ia sebagai satu identiti mereka sendiri.

“Seperti yang kita sedia maklum, tidak semua mampu menghantar anak-anak yang cemerlang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi kerana keluarga tidak berkemampuan.

“Jadi program ‘57Hope’ menyediakan peruntukan-peruntukan tertentu untuk menghantar dan membantu mereka ketika memulakan pendaftaran di universiti,” katanya semasa berucap sempena Hari Keluarga Persatuan Ibu Bapa & Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Lubok Bemban di sini pada Rabu.

Royston menambah, inisiatif lain yang turut dilaksanakan adalah pembentukan Biro Pendidikan Mukah merangkumi pendidikan dan kokurikulum yang dilancarkan pada September tahun lepas.

Menurutnya, antara aktiviti di bawah Biro Pendidikan Mukah ialah kelas tuisyen percuma yang akan dilaksanakan dalam sesi persekolah yang akan datang.

“Saya sendiri telah menyewa sebuah bangunan untuk kita adakan kelas tusyen percuma kepada keluarga yang kurang mampu,” tambahnya.

Beliau juga mengumumkan peruntukan sebanyak RM20,000 kepada PIBG SK Lubok Bemban untuk menaik taraf pelbagai kemudahan di sekolah itu. -EDISI UKAS

add comment