SABTU, 18 FEBRUARI 2023
IGAN: Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato’ Murshid Diraja Dr. Juanda Jaya sedia membantu membawa guru pakar dari luar bagi membolehkan pelajar Sekolah Agama menguasai bahasa Arab.
Katanya, Sekolah Agama perlu penguasaan bahasa Arab yang kuat.
“Sekiranya perlu adakan bengkel dan bawa guru pakar dari luar. Yang perlukan dana dan bajet, sila maklumkan dengan saya dan saya amat sedia membantu.
“Bukan hanya bahasa Arab, juga subjek yang lain yang memerlukan bimbingan luar dan dana, maklumkan,” katanya semasa berucap dalam Majlis Apresiasi Kecemerlangan Pelajar 2022/2023 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Igan pada Jumaat.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng menambah, program bersama pihak Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) perlu diteruskan dan maklumkan kepada beliau jika perlu dipanjangkan kepada universiti lain.
Dalam pada itu, beliau mengucapkan tahniah kepada yang berjaya dan menzahirkan ucapan terima kasih kepada guru yang setia membimbing para pelajar.
“Kepada ibu bapa, bantulah pihak sekolah bersama-sama untuk memastikan sekolah ini terus maju jaya,” ujarnya lagi.
Turut hadir Pengetua SMK Agama Igan Malihah Sirat dan Pemanca Melanau Daerah Matu Rahmah Ras. – EDISI UKAS