Pra Sekolah Baharu Untuk SK Kampung Sawai

SABTU, 18 FEBRUARI 2023

MATU: Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Sawai di sini menerima hadiah bermakna selepas Kerajaan Sarawak meluluskan peruntukan sebanyak RM560,000 bagi tujuan membina pra sekolah baharu.

Perkara itu diumumkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad pada Majlis Apresiasi Kecemerlangan Murid & Majlis Graduasi Tahun 6 & Pra Sekolah SK Kampung Sawai pada Khamis.

Bagi kemudahan dan keselesaan para pelajar yang berulang alik ke sekolah, Safiee turut meluluskan peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) berjumlah RM150,000 untuk menaiktaraf jeti SK Kampung Sawai.

Selain projek sekolah, Safiee telah memaklumkan status terkini bagi projek Naiktaraf Dewan Kampung Sawai yang bernilai RM220,000 dan akan dilaksanakan selewat-lewatnya April tahun ini dan Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar yang sedang dilaksanakan.

Pada majlis sama, Safiee menyempurnakan penyerahan sumbangan RM30,000 kepada PIBG SK Kampung Sawai untuk digunakan bagi menaiktaraf Astaka SK Kampung Sawai dan telah dijenamakan semula sebagai Astaka Safiee. 

Sebagai tanda sokongan, Safiee turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM8,000 kepada PIBG SK Kg. Sawai untuk melaksanakan aktiviti tahunan.

Hadir sama wakil Pejabat Pendidikan Daro Junaidi Mohammed, Guru Besar SK Kampung Sawai Ian Felix Arip, Yang Dipertua PIBG Yasti Mit dan Pengarah Urusan Primula Gemilang Sdn Bhd Rusdi Mohd Nor. – Edisi UKAS

add comment