SABTU, 18 FEBRUARI 2023
KUCHING: Presiden Republik Jerman Dr. Frank-Walter Steinmeier dan isterinya, Elke Budenbender serta rombongan berlepas pulang ke Berlin pada petang Sabtu, selepas melakukan kunjungan sulungnya ke Sarawak.
Beliau dan isteri tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) pada jam 4.19 petang dengan diiringi oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan merangkap Menteri Belia, Sukan dan Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Kehadiran mereka disambut oleh Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Dr. Hazland Abang Hipni selaku Menteri Menyambut disertai dengan kawalan kehormat setempat dari 1 Rejimen Kor Polis Tentera DiRaja, Kem Muara Tuang dan 11 Rejimen Askar Melayu DiRaja.
Turut hadir ialah Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar Dan Perubahan Iklim Malaysia Nik Nazmi Nik Ahmad, Timbalan Setiausaha Persekutuan Sarawak Banges Munga, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) mewakili Setiausaha Kerajaan Sarawak Datu Hii Chang Kee, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancang Ekonomi & Pembangunan) Datu Dr. Muhammad Abdullah Zaidel, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan Dato Wee Hong Seng, Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Datu Junaidi Reduan dan Pegawai Staf 1 Ordnans, Markas Satu Division Muhammad Norman Kamaruddin.
Sebelum berlepas pulang, Presiden Jerman serta isteri telah diberikan cenderahati album gambar daripada Jabatan Penerangan Sarawak dan Unit Protokol, Istiadat dan Pengurusan Acara Sarawak sebagai kenang-kenangan.
Pesawat khas yang dinaiki mereka berlepas pada jam 5.16 petang.
Untuk rekod, Dr. Frank-Walter telah memulakan lawatannya ke Kuching Wetlands National Park bagi melihat spesies pokok Hutan Terenggas yang ada di situ.
Beliau kemudiannya meneruskan lawatan ke Sungai Lemidin dan beliau serta isteri masing-masing menanam pokok Mersawa Kunyit dan Bintangor Madu sebagai simbolik kunjungan mereka.
Sejurus selepas itu, lawatan diteruskan ke Pusat Hidupan Liar Semenggoh yang sinonim dengan pemeliharaan orang utan terbesar di negeri ini yang mana mereka berkesempatan menerokai hutan hujan yang mengambil masa kira-kira sepuluh minit menuju ke tempat tontonan khas untuk melihat sendiri spesies orang utan dengan lebih dekat yang terpelihara di situ.-Edisi UKAS