AHAD, 1 FEBRUARI 2023
KANOWIT: Seramai 21 orang Tuai Rumah dari kawasan Skim Penempatan Nanga Ngungun dan sekitarnya menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat yang diadakan di Rumah Lakun, Skim Penempatan Nanga Ngungun.
Majlis pada Sabtu itu telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah Anyi Jana.
Dalam ucapan ringkasnya, Anyi menyatakan komitmennya untuk membantu dalam penyaluran dana bagi membina parit Rumah Lakun dan membeli peralatan dapur untuk Biro Wanita rumah tersebut.
Beliau juga menyarankan kepada Tuai Rumah Lakun untuk menulis surat permohonan dan dihantar ke Pusat Khidmat ADUN Ngemah.
Beliau juga menerangkan, Rumah Lakun telah disenaraikan dalam Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) 2023 DUN Ngemah iaitu membina sengkuap (awning) depan rumah panjang.
Manakala bagi Projek Kecil Luar Bandar (MRP) katanya, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Lakun yang terdiri daripada 15 pintu telah diagihkan geran MRP tahun 2022 berjumlah RM7,500.
“Bagi pihak JKKK lain yang hadir, permohonan projek RTP mereka bolehlah dihantar ke Pusat Khidmat ADUN Ngemah di Pekan Kanowit.
“Kelulusan bagi projek RTP tersebut adalah berdasarkan keperluan dan juga kedudukan kewangan semasa.
“Pelaksanaan projek RTP juga akan dilaksanakan secara berperingkat dan berharap agar pihak JKKK bersabar sekiranya mereka belum lagi menerima projek RTP,” katanya semasa berucap.
Menyentuh perkara lain, Anyi berkata seramai 13 Tuai Rumah di DUN Ngemah telah pun diluluskan pelantikan mereka oleh kerajaan Sarawak.
Katanya, bagi pelantikan KMKK, panel pemilihan dan pelantikan mereka diketuai oleh Residen Sibu, Wong Hee Sieng.
Justeru, beliau berharap agar KMKK yang dilantik dapat memahami tugas mereka dan menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab.
Turut hadir isteri ADUN Ngemah Gelim Utan, Penghulu Ron Ugai, Kaunselor Cliff Unting, Kaunselor Mutang Karani dan Sjn Bidat dari IPD Kanowit. – EDISI UKAS