AHAD, 19 FEBRUARI 2023
BINTANGOR: Pelbagai pembangunan dirancangkan untuk kawasan Meradong di bawah Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA).
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing, antara yang dicadangkan adalah menaiktaraf jalan utama Bandar Bintangor menuju ke Sungai Narasit dan Sungai Tulai dan pembinaan pusat dagangan di Bandar Bintangor.
Turut dalam perancangan adalah pembinaan Tebingan Sungai Bintangor dan Kolam Renang Bintangor yang telah diuluskan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Sehubungan itu, beliau berharap semua warga Meradong sentiasa peka dengan pembangunan infrastruktur di daerah itu dan berharap projek-projek ini akan meningkatkan ekonomi di Bandar Bintangor pada masa akan datang.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Makan Malam Sempena Sambutan Tahun Baru Cina 2023 anjuran Bintangor Chinese Chambers Of Commerce di sini pada Sabtu.
Sementara itu, Penghulu Hwang Tiong Keng yang berucap mewakili Timbalan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Dato Sri Huang Tiong Sii berkata akan menjalin kerjasama dengan Datuk Ding untuk sama-sama mengerakkan pelbagai pembangunan infrastruktur seperti sekolah, gereja dan pelbagai lagi di Bintangor.
Katanya, pembinaan Jalan Pasi ke Tanjong Manis sangat penting untuk rakyat Sarikei dan Bintangor di mana apabila siap kelak ia akan meningkatkan ekonomi di kedua-dua kawasan. – EDISI UKAS