Teruskan Usaha Gigih Untuk Capai Kecemerlangan

AHAD, 19 FEBRUARI 2023

MIRI: Golongan pelajar terutamanya mereka yang menamatkan pendidikan Tahun Enam diseru agar gigih berusaha untuk terus mencapai kecemerlangan di peringkat sekolah menengah.

Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dr Ripin Lamat memberitahu, peningkatan kemahiran diri hanya mampu dicapai menerusi usaha yang berterusan.

“Walaupun terdapat golongan yang tidak mendapat pencapaian yang memuaskan di peringkat sekolah rendah, ini bukan bermaksud anda tidak memiliki kebolehan.

“Cuma, anda perlu berusaha dengan lebih gigih dan lakukan perubahan apabila memasuki Tingkatan Satu.

“Mulakan azam baharu dan berusaha dengan bersungguh-sungguh supaya apabila berada di sekolah menengah nanti, anda akan mencapai kejayaan yang cemerlang,” katanya dalam Majlis Graduasi dan Anugerah Cemerlang 2022/2023 di Dewan Serbaguna SJK(C) Chung Hua Bakam di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lambir turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM10,000 untuk SJK(C) Chung Hua Bakam dan RM5,000 untuk Tadika Bakam bagi memudahkan pihak sekolah dan tadika mengurus serta menambahbaik kemudahan masing-masing. -EDISI UKAS

add comment