Forum Minggu Keharmonian Antara Agama, Jalin Hubungan Harmoni Rakyat Sarawak

ISNIN, 20 FEBRUARI 2023

KUCHING: Program Forum Minggu Keharmonian Antara Agama Malaysia 2023 Edisi ke-3 mampu menjadi platform untuk menggalakkan hubungan harmoni antara kaum dan agama dalam kalangan masyarakat di Sarawak.

Pengarah Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR), Datu Jack Aman Luat berkata, forum itu bertujuan untuk mempromosikan nilai hormat, menghargai dan menerima kepelbagaian agama dan budaya melalui dialog, pendidikan dan kesedaran awam.  

Jelas beliau, ia adalah perayaan perpaduan dan kepelbagaian serta hubungan ketuhanan antara rakyat dan kepercayaan mereka.

“Ia bagi meningkatkan persefahaman dan keharmonian antara penganut pelbagai agama melalui interaksi berkesan dan penekanan kepada amalan sejagat, terutamanya nilai-nilai Tuhan dan berkongsi apa yang kita ada bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Forum Minggu Keharmonian Antara Agama Malaysia 2023 Edisi ke-3 di sini pada Isnin. 

Dalam pada itu, forum tersebut telah menampilkan seramai tujuh ahli panel untuk mengadakan sesi dialog bagi membentangkan pelbagai topik dan aspek agama yang akhirnya akan membawa kepada interaksi yang berkesan, persefahaman bersama dan penghayatan nilai-nilai muhibah.

Tujuh orang panelis terlibat itu dari Jabatan Agama Islam Sarawak, Persatuan Gereja-Gereja di Sarawak, Persatuan Buddha Malaysia Cawangan Sarawak, Cawangan Hindu Sangam Sarawak Malaysia, Perhimpunan Rohani Baha’i Sarawak, Persekutuan Persatuan Cina Sarawak dan Persatuan Kuil Sikh Sarawak. 

Sementara itu, Datu Jack Aman berharap forum tersebut dapat memberi manfaat kepada semua komuniti yang hadir.

“Forum ini akan menjadi pendekatan terbaik untuk mempromosikan keamanan dan keharmonian dalam semangat perpaduan demi kepentingan Sarawak,” katanya. -EDISI UKAS 

add comment