Kerajaan Sarawak Berhasrat Iktiraf Semua Suku Kaum

ISNIN, 20 FEBRUARI 2023

DALAT: Kerajaan Sarawak berhasrat mengiktiraf semua suku kaum yang ada di Sarawak tanpa rasa disisihkan.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata perpaduan dan toleransi merupakan kunci utama kepada keharmonian penduduk di Sarawak yang terdiri daripada pelbagai suku kaum.

Beliau mengambil contoh masyarakat Melanau yang mempunyai keunikan tersendiri termasuk sikap toleransi yang sangat baik dalam semua aspek kehidupan.

Malah katanya, warisan dimiliki masyarakat Melanau mempunyai potensi yang besar untuk dikomersialkan kepada masyarakat dari seluruh negara.

Katanya, nilai pelancongan ini mampu menarik kedatangan pelancong ke negeri ini yang akan membantu menjana ekonomi di samping menambah pendapatan penduduk setempat.

“Dengan lengkapnya jajaran perhubungan jalan di seluruh Sarawak akan memudahkan industri pelancongan di Sarawak.

“Warisan Melanau yang unik dan tersendiri mempunyai potesi yang besar untuk dikomersialkan kepada masyarakat dari seluruh negara,” katanya berucap semasa merasmikan Semarak Warisan Melanau @Dalat di Kompleks Kebajikan Dalat pada Ahad.

Beliau yang juga Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan menambah Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dijadual mengadakan lawatan ke Sarawak pada September nanti dan akan singgah di Mukah.

Justeru katanya, ia akan memberi peluang kepada masyarakat Melanau termasuk di Dalat untuk mempersembahkan keunikan budaya mereka.

Di akhir ucapannya, beliau mengumumkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM150,000 kepada pelbagai Pertubuhan di Dalat dan RM50,000 untuk Persatuan Peminat P.Ramlee Sarawak.

Terdahulu, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti merangkap ADUN Dalat, Dato Sri Fatimah Abdullah dalam ucapan aluannya berkata objektif Semarak Warisan Melanau adalah sebagai persiapan untuk menyediakan kandungan atau program bagi Galeri Warisan Melanau 2.

Katanya, Projek Rakyat tersebut telah diluluskan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dengan peruntukan sebanyak RM18 juta.

“Ianya akan merangkumi komponen-komponen muzik tradisional Melanau, makanan tradisional, perubatan tradisional, permainan tradisional, kraftangan traditional dan tokoh-tokoh, adat istiadat kaum Melanau dan asal usul kaum Melanau di N.56 Dalat.

“Objektif kedua adalah untuk mengetengahkan makanan tradisional Melanau seperti sagu.

“Jadi permohonan kita kepada pihak kementerian (MTCP) agar dapat mengetengahkan sebagai makanan warisan kebangsaan. Pada program ini juga kita melancarkan Dalat Tourism Trail. Program Semarak Warisan Melanau @ Dalat,” katanya.

Dato Sri Fatimah juga berharap MTCP dapat membantu mewujudkan premis untuk bengkel, galeri dan pasar hujung minggu bersebelahan Kampung Tanam Waterfront.

Bagi tujuan kelestarian Serao atau terendak, persetujuan telah dicapai dengan CENTEX Dalat untuk menawarkan kursus membuat Serao yang dijangka siap pada hujung tahun ini.

Hadir sama dalam program itu Menteri Di Jabatan Premier Sarawak Datuk John Sikie Tayai, ADUN Balingian Abdul Yakub Arbi dan ADUN Tellian Royston Valentine. – EDISI UKAS

add comment