ISNIN, 20 FEBRUARI 2023
MIRI: Setiap organisasi atau pertubuhan harus memanfaatkan perkembangan teknologi untuk melaksanakan urusan komunikasi dengan lebih teratur.
Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin berkata, perisian internet masa kini boleh digunakan untuk berinteraksi dengan mudah tanpa perlu berada di lokasi yang sama.
“Kita dapat memanfaatkan internet untuk berhubung atau berinteraksi tidak kira di mana juga kita berada.
“Begitu juga dengan pertubuhan dan organisasi. Mereka boleh memanfaatkan perkembangan teknologi untuk mengendalikan mesyuarat dalam kalangan ahli secara maya sama ada di peringkat tempatan mahupun global.
“Ini secara tidak langsung akan mengeratkan hubungan silaturahim sesama diri selain menarik penyertaan lebih ramai golongan muda,” katanya.
Beliau berucap demikian dalam majlis Sambutan Perayaan Tahun Baharu Cina dan Majlis Apresiasi Warga Emas Persatuan Hakka Miri di sini pada Ahad.
Sementara itu, Dato Sri Lee yang juga Presiden Persatuan Hakka Miri menyeru setiap ahli persatuan agar mengiktiraf dan menghargai sumbangan warga emas yang telah banyak berjasa kepada pembangunan sesebuah persatuan.
“Mereka perlu diberi pengiktirafan setimpal dengan sumbangan yang telah diberikan,” ujarnya lagi.
Hadir sama, Pengerusi Persatuan Hakka Miri Liew Han Ping, Penasihat Persatuan Hakka Miri Temenggong Yong Vui Seng dan Ketua Persatuan Pemuda Hakka Miri Andy Jong Wan Joon. -EDISI UKAS