Senarai Projek Tanpa Had Menerusi Makmal Mini GKCDA DUN Tasik Biru

JUMAAT, 17 FEBRUARI 2023

BAU: Makmal Mini Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) DUN Tasik Biru diadakan bagi menghimpun individu dan semua agensi berkaitan sama ada jabatan kerajaan mahupun swasta untuk menyenaraikan semua projek yang ingin dilaksanakan di kawasan itu.

Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai dan Laut) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru Dato Henry Harry Jinep berkata, GKCDA masih belum mempunyai senarai projek utama untuk dimulakan di bawah inisiatif pembangunannya.

Menurut beliau setakat ini, agensi itu baru mengenal pasti lima sektor seperti pembangunan infrastruktur, utiliti dan telekomunikasi, pertanian, bukan pertanian serta pembangunan sosial untuk berada dalam senarai.

“Sejujurnya, kami belum mempunyai senarai projek utama lagi dan inilah masanya untuk menghasilkan senarai ini kerana ada enam hingga tujuh tahun lagi sebelum 2030.

“Sebab itu kita adakan Makmal Mini GKCDA N2 Tasik Biru ini untuk menghimpunkan semua agensi berkaitan untuk menyenaraikan semua projek yang ingin dilaksanakan bagi melengkapkan projek pembangunan sedia ada di Bau dan Tasik Biru.

“Tetapi, projek yang telah dilulus sebelum penubuhan agensi itu tidak akan dimasukkan dalam senarai,” katanya dalam sidang media selepas menyempurnakan program Makmal Mini GKCDA DUN Tasik Biru di sini pada Jumaat.

Menerusi program itu, tambah Dato Henry lagi, tiada sebarang had untuk senarai projek yang hendak dilaksana memandangkan kesemuanya kelak akan dibentang terlebih dahulu kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg untuk ditetapkan.

“Jadi hari ini kita tidak menetapkan had. Apa sahaja projek yang nak dilaksana, kita terima dan kita tidak akan menentukan projek mana alan dipilih. Premier Sarawak akan menetapkan projek apa yang sesuai,”ujarnya. -Edisi UKAS

add comment