ISNIN, 20 FEBRUARI 2023
SIBURAN: Sukan boleh dijadikan sebagai satu kerjaya pada masa kini dan mampu menjamin masa depan yang cerah.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Roland Sagah Wee Inn berkata, kemahiran sukan yang ada pada pelajar boleh dipupuk lebih awal supaya sukan tidak hanya dilihat sebagai satu permainan sekadar suka-suka tapi sebaliknya menjadi sumber pendapatan.
Menurutnya, sukan memberikan peluang kepada semua pelajar yang berbakat dan berpotensi untuk digilap ke tahap yang lebih tinggi.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Bola Keranjang U13 (bawah 13 tahun) Bahagian Serian 2023 Edisi Pertama di sini pada Ahad.
Tambah Datuk Roland lagi, pertandingan sukan yang julung kali dianjurkan oleh Kelab Sukan dan Rekreasi Tapah itu adalah sangat baik dalam menyumbang ke arah pertumbuhan jasmani yang sihat yang mana secara tidak langsung membina disiplin dalam kalangan pelajar.
Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat menyatakan bahawa akan sentiasa membantu dalam apa jua bantuan yang diperlukan sebagai menyokong usaha tersebut.
Sebanyak 16 pasukan telah terlibat yang mana juara dimenangi oleh Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua Siburan A bagi kategori wanita dan SJKC Chung Hua Tapah A bagi kategori lelaki.
Hadir sama ialah Pengerusi Kelab Sukan & Rekreasi Tapah Chong Chee Lik, Ahli Majlis Daerah Serian Chia Tok Siew dan Penghulu Voon Min Sen.-Edisi UKAS