Usahawan Bumiputera Digesa Tingkatkan Imu

ISNIN, 20 FEBRUARI 2023

MUKAH: Usahawan Bumiputera perlu mempertingkatkan ilmu dan kepakaran dalam perniagaan untuk membolehkan mereka menjadi mahir dan boleh dianggap sebagai seorang professional.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian Abdul Yakub Arbi berkata pertambahan ilmu adalah satu aset dan memberi kelebihan kepada seseorang usahawan terutama untuk bersaing di peringkat global yang lebih mencabar.

Jelasnya, seseorang yang mempunyai kepakaran di dalam perniagaan harus berkongsi ilmu, kemahiran dan pengetahuan yang baik dan memberi ajaran untuk disampaikan pula kepada orang lain.

“Semenjak dari dahulu lagi, kerajaan sememangnya menggalakkan penglibatan lebih ramai usahawan Bumiputera yang berkualiti dan progresif.

“Penyertaan Bumiputera dalam sektor ekonomi terutama perindustrian perlu dipertingkatkan.

“Usahawan Bumiputera hendaklah berusaha lebih giat supaya dapat berjaya di dalam perusahan mereka,” katanya berucap pada Program Pemerkasaan Usahawan Tahap 2 di Dewan Suarah Mukah pada Ahad.

Jelasnya, agenda untuk memperkukuhkan penyertaan usahawan Bumiputera telah menjadi misi penting di mana kerajaan sentiasa proaktif dalam memperkukuhkan kedudukan supaya dapat bersaing di pasaran antarabangsa.

Tambah beliau lagi, pemimpin atau pengurus perniagaan yang tidak berilmu dan berpengetahuan akan menjadikan perniagaan tidak berkembang dan akhirnya ‘gulung tikar’.

“Sebagai sebuah persatuan ataupun gabungan seperti DUBS perkongsian ilmu seperti pemasaran, perancangan perniagaan, kreativiti, innovasi dan sebagainya adalah amat penting.

“Ilmu itu ibarat air, amalkan dan sampaikan ilmu yang bermanfaat kepada semua orang. Kita tidak boleh lokek ilmu untuk disimpan, kerana ibarat air yang terlalu lama terhenti (tidak mengalir), maka lama kelamaan akan berlumut dan berbau busuk,” ujarnya.

Seramai 80 peserta telah menghadiri kursus tersebut yang bertujuan mempelajari berkenaan Penjenamaan dan Pembungkusan, Gelagat pengguna: Psikologi Pembeli, dan Perkongsian Keusahawanan. – EDISI UKAS

add comment