SELASA, 31 JANUARI 2023
SIBU: Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Prof. Dr. Sim Kui Hian dan Isteri Datin Enn Ong Siok Ean meneruskan kunjungan sempena sambutan Tahun Baru Cina 2023 ke beberapa rumah ketua masyarakat serta pengerusi Persatuan Kaum Cina di Sibu pada Isnin.
Beliau memulakan kunjungan ke kediaman Ahli Parlimen Sarikei, Dato’ Sri Huang Tiong Sii.
Kehadiran beliau serta rombongan disambut mesra oleh tetamu kehormat yang lain disertai persembahan tarian singa sebagai tradisi membawa tuah.
Beliau serta tetamu kehormat yang lain turut berkesempatan menyempurnakan simbolik menggaul Yee Sang.
Seterusnya beliau dan rombongan berkunjung ke rumah Pengerusi Persatuan Chiang Chuang, Lim Hong Hui di Jalan Gambir disusuli kediaman Pengerusi SUPP Dudong, Kaunselor Wong Ching Yong di Jalan Sawi.
Mereka kemudiannya melawat kediaman bekas Ahli Dewan Undagan Negeri (ADUN) Dudong, Datuk Tiong Thai King di Jalan Tun Abang Haji Openg dan kediaman Bishop Lau Hui Ming, Persidangan Tahunan Cina Sarawak Gereja Methodist di Malaysia (Sarawak Chinese Annual Conference of the Methodist Church in Malaysia) yang terletak di Jalan Lily.
Dato Sri Dr. Sim juga berkesempatan mengunjungi Persatuan Cina Bersatu Sibu (UCA) di Jalan Aman dan disambut oleh Presiden UCA Sibu Lau Ing Siong.
Beliau kemudiannya mengunjungi kediaman Timbalan Pengerusi Eng Ann Teng Tua Pek Kong Sibu Soon Choon Kui, di Pulau Li Hua sebelum menamatkan lawatannya di Persatuan Foochow Sibu, Jalan Salim.
Turut serta dalam rombongan ADUN Assek Joseph Chieng Jin Ek, Pengerusi SUPP Bukit Assek Datuk Chieng Buong Toon, Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu Clarence Ting Ing Horh dan Kaunselor Wong Ching Yong.-EDISI UKAS