Dua Individu Dihukum Penjara, Gagal Bayar Denda Miliki Kayu Balak Secara Haram

Selasa, 21 FEBRUARI 2023

SIBU: Dua individu berhadapan dengan hukuman tiga bulan penjara kerana gagal membayar denda sebanyak RM35,000 serta bayaran kepada kerajaan Sarawak sebanyak RM12,584.50 bagi setiap seorang yang telah diperintahkan oleh Mahkamah Sesyen Sibu pada Isnin.

Jabatan Hutan Sarawak dalam satu kenyataan media memberitahu, kedua-dua individu berasal dari Sibu telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 96(1) Forests Ordinance 2015 (Cap. 71) kerana memiliki hasil hutan secara tidak sah dan dibaca bersama Seksyen 79(2), 96(3) dan 99 Ordinan yang sama.

Mahkamah juga memerintahkan agar sebuah lori sebagai bahan bukti dilucut hak dan diserahkan untuk dilupuskan oleh Jabatan Hutan Sarawak setelah didapati membawa muatan kayu balak berjumlah 44 batang di Pasai Siong, Sibu pada 9 Julai 2021 jam 12.20 pagi.

Hakim, Marutin Pagan memerintahkan agar hukuman berjalan serentak.

Dalam pada itu, Pengarah Hutan Sarawak, Datu Hamden Mohammad menegaskan bahawa kesalahan ini adalah suatu kesalahan serius yang melibatkan pemilikan secara tidak sah serta penyeludupan hasil hutan dan tindakan tegas mesti diambil.

Pendakwaan dari Jabatan Hutan Sarawak dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ronald Felix Hardin dari Kamar Peguam Besar Negeri Sarawak dan prosiding turut dihadiri oleh beberapa orang pegawai Jabatan Hutan Sarawak. -EDISI UKAS.

add comment