SELASA, 21 FEBRUARI 2023
MUKAH: Masyarakat pelbagai kaum di negeri ini harus bersama memelihara perpaduan yang telah sekian lama terjalin agar keharmonian dapat terus dikekalkan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata sokongan padu daripada semua kaum serta agensi kerajaan yang bertanggungjawab dalam menjaga perpaduan negara membolehkan banyak perkara diusahakan bersama khususnya dalam membangunkan sesuatu kawasan menjadi lebih teratur dan tersusun.
Katanya, keperluan masyarakat bukan sahaja dari segi kemudahan infrastruktur malahan keperluan untuk membangunkan komuniti dari segi kesedaran dalam hidup bermasyarakat amatlah penting.
Dalam hal ini, beliau menegaskan sikap saling hormat menghormati dan tolong menolong antara satu sama lain di dalam komuniti semakin hari semakin berkembang baik.
Beliau berucap demikian semasa Majlis Makan Malam Tahun Baru Cina 2023 anjuran Gabungan Persatuan Cina Bahagian Mukah baru-baru ini.
“Pelbagai keperluan setempat mahupun masalah sosial akan dapat diatasi sebaik mungkin dengan adanya kerjasama erat seumpama di kalangan masyarakat bersama agensi kerajaan dan wakil rakyat yang ada.
“Saya mengharapkan agar semangat kebersamaan ini akan sentiasa subur di dalam masyarakat kita dan terus dipupuk sepanjang masa terutamanya di kalangan golongan anak-anak muda,” katanya lagi.
Dalam majlis itu, beliau mengumumkan berita gembira kepada Chinese Benevolent Society Mukah apabila memperuntukkan sejumlah RM300,000 di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) untuk membina baru bangunan pertubuhan berkenaan.
Selain itu, beliau turut mengumumkan geran tahunan berjumlah RM10,000 untuk Gabungan Persatuan Cina Bahagian Mukah.
Sebanyak 16 Persatuan Komuniti Cina di sekitar Mukah menyertai majlis tersebut yang bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim antara ahli-ahli persatuan. – EDISI UKAS