Projek Naik Taraf Sistem Perparitan Selesaikan Isu Banjir Kilat Di Kampung Masjid Kuala Baram

SELASA, 21 FEBRUARI 2023

MIRI: Projek Naik Taraf Sistem Perparitan Konkrit di Kampung Masjid Kuala Baram Fasa 2 telah siap lebih awal dari jadual asal dan kini memberi manfaat kepada penduduk setempat. 

Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin Dato Sri Lee Kim Shin berkata, projek ini merupakan permintaan daripada penduduk sekitar memandangkan kawasan tersebut sering menghadapi isu banjir kilat. 

 “Dengan terlaksananya projek ini, maka isu banjir kilat yang berlaku setiap kali menjelang musim tengkujuh dijangka akan diselesaikan sepenuhnya. 

“Saya telah menerima respons positif daripada penduduk setempat atas inisiatif Kerajaan Sarawak untuk menangani isu seumpamanya,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa mengadakan lawatan kerja ke tapak projek tersebut di sini pada Selasa. 

Difahamkan, projek dengan skop merangkumi parit konkrit sepanjang 170 meter dengan lebar 1.8 meter ini telah menelan kos sebanyak RM250,000. 

Ia dilaksanakan pada 19 September 2022 di bawah peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) DUN Senadin. 

Turut hadir, tiga Penolong Jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Miri, Iwan Halmi, Mohd Faiza Ahmad dan Normizawati Bujang. -EDISI UKAS

add comment