Ahli Parlimen Batang Lupar Mohon Agar Lebih Banyak Hak Sarawak Dikembalikan

RABU, 22 FEBRUARI 2023

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli memohon agar lebih banyak lagi hak Sarawak dikembalikan seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963. 

Menurut beliau, “semangat asal perjanjian Malaysia 1963 telah menunjukkan bahawa Sabah dan Sarawak adalah rakan sekutu dalam pembentukan Malaysia dengan hak-hak keistimewaan tertentu yang harus kita hormati”. 

“Di dalam Perjanjian Malaysia 1963 menegaskan bahawa pengagihan 35 peratus daripada 222 kerusi parlimen adalah kepada Sabah dan Sarawak, namun 2/3 atau 75 peratus daripada kerusi parlimen adalah di Semenanjung Malaysia, manakala di Sabah dan Sarawak hanya ada 25 peratus atau 56 kerusi”, tambahnya. 

Hal Ini bermakna Dewan Rakyat tidak perlu mengambil kira suara Sabah dan Sarawak di dalam meminda Perlembagaan Persekutuan. 

Maka, beliau amat berharap agar pihak suruhanjaya pilihanraya dapat melihat isu ini dengan serius. 

Selain itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Dato Seri Anwar Ibrahim atas sokongan yang diberikan dalam mengembalikan beberapa hak dan keistimewaan Sabah dan Sarawak

“Perdana Menteri telah mengumumkan bahawa pemberian khas pada Sarawak di bawah perkara 112D Perlembagaan Persekutuan akan dinaikkan kepada RM300 juta dah kuasa juga akan diserahkan kepada Kerajaan Sarawak untuk membuat keputusan bagi pelaksanaan projek bernilai bawah RM50 juta”, ujarnya. 

Akhirnya, sebagai anak Sarawak Mohamad Shafizan Kepli amat mendambarkan supaya hak-hak Sarawak yang terhakis selama ini dapat dikembalikan seperti mana yang termaktub dalam perjanjian Malaysia 1963. -Edisi UKAS.

add comment