RABU, 22 FEBRUARI 2023
MUKAH: Kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) akan memperkenalkan program bantuan e-LIFE sebelum April ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato’ Sri Fatimah Abdullah berkata, bantuan itu merupakan bantuan modal untuk keluarga berpendapatan rendah di negeri ini bagi menjalankan perniagaan agar pendapatan keluarga meningkat.
Bagaimanapun beliau berkata, kementeriannya kini sedang memperhalusi syarat-syarat untuk permohonan bantuan berkenaan.
“Satu lagi kemudahan, dibawah kementerian kami yang juga dalam bentuk geran bukan pinjaman iaitu melalui satu program pembasmian kemiskinan dan kami jenamakan ia sebagai e-LIFE.
“Peruntukan sudah ada dan kita akan war-warkan lagi sebelum bulan April sebab kita nak laksanakan bermula pada bulan April.
“Sekarang tengah memperhalusi syarat-syaratnya,”katanya.
Beliau berkata demikian dalam majlis perasmian Seminar Memperkasa Budaya Keusahawanan di Dewan Masyarakat Oya di sini pada Rabu.
Dato’ Sri Fatimah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat mendedahkan, pemohon bantuan e-LIFE itu adalah terbuka untuk lelaki dan wanita yang mempunyai pendapatan bawah RM5,000.
KPWK menetapkan sasaran seramai 750 orang hingga 1,000 orang menerima faedah bantuan itu dengan nilai RM1,000 hingga RM5,000 seorang.
Hadir sama dalam majlis berkenaan ialah Pegawai Daerah Dalat Hamdan Katang, Pengerusi Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) Cawangan Mukah Dr. Sulaiman Sahari, Pereka Fesyen Dr Anna Sue dan Penghulu Pawi Ramli.-Edisi UKAS