Program MEKAR JPN Di Pekan Dalat Permudah Urusan Rakyat

RABU, 22 FEBRUARI 2023

DALAT: Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) yang dilakukan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) membantu memudahkan urusan penduduk di kawasan pedalaman dan luar bandar

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato’ Sri Fatimah Abdullah berkata, program itu membantu proses membuat dokumen pengenalan diri tanpa perlu pergi ke pejabat JPN yang agak jauh dari penempatan mereka.

“Mereka akan mendapat kemudahan apabila menyertai Program Mekar Komuniti ini oleh JPN yang mana perkhidmatan yang diberikan adalah sama seperti yang boleh didapati di pejabat JPN.

“Dengan adanya bas bergerak program ini, jadi semua perkhidmatan  dan juga peralatan adalah dalam keadaan yang baik dan dengan itu dapat memberi manfaat kepada penduduk yang datang  untuk mendapat perkhidmatan.

“Dari segi isu dokumen, perkhidmatan yang diberikan antaranya ialah untuk membuat kad pengenalan bagi anak-anak kita yang mencapai umur 12 tahun membuat kad pengenalan, juga ada gantian kad pengenalan, kemudian juga pendaftaran kelahiran, kematian dan cabutan sijil lahir yang rosak.

“Tambahan daripada itu yang sangat bagusnya ialah pada hari yang sama, kalau untuk kad pegenalan tadi setengah jam sudah dapat. Jadi ini sangat membantu penduduk kita di  luar bandar tidak payah berulang alik lagi,”katanya.

Beliau berkata demikian pada dalam sidang media selepas menyempurnakan majlis perasmian MEKAR Komuniti di Tebingan Sungai Dalat di sini pada Rabu. 

Dalam pada itu, Dato Sri Fatimah juga merakamkan ucapan penghargaan kepada pihak JPN atas penganjuran program yang sangat diperlukan di Sarawak ini.

“Jadi kita ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak JPN dan tahniah kepada JPN atas program yang sangat diperlukan terutama sekali untuk di negeri Sarawak ini dimana ada lagi kampung-kampung, rumah panjang yang lokasinya jauh daripada pejabat-pejabat JPN jadi disebabkan lokasi, kos kadang-kadang tambang ulang-alik memakan kos yang tinggi.

“Ada diantara mereka kadang-kadang tidak melakukan  proses pendaftaran ini sedangkan itu adalah perkara yang memang wajib dilakukan mendaftar kelahiran dan juga mendaftar kematian ini,”jelas beliau lagi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat itu menambah, selain daripada perkhidmatan membuat dokumen pengenalan diri, dalam program itu juga terdapat Mahkamah Bergerak yang menawarkan perkhidmatan akuan angkat sumpah.

“Ini juga sangat penting bagi kita di kawasan luar bandar ini sebab ada kelahiran yang  tidak didaftarkan kemudian terpaksa rujuk balik pengesahan kepada Pemanca, Penghulu, Kapitan, Ketua Kaum, jadi perlu buat akuan angkat sumpah sebab dalam pengalaman kita berkaitan dengan penduduk kita yang tanpa dokumen pengenalan diri akuan angkat sumpah sangat penting untuk disahkan.

“Seterusnya, kalau ada soalan yang lain boleh kepada mereka berdua, mereka lebih arif tentang program masing-masing,” ujar beliau lagi.

Program MEKAR di Pekan Dalat itu merupakan siri ke-2 Program MEKAR Komuniti yang berlangsung selama dua hari iaitu 22 Februari dan 23 Februari 2023.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Pegawai Daerah Dalat Hamdan Katang.-Edisi UKAS

add comment