Ahli Parlimen Igan Bangkit Isu Pendidikan, Masalah Kekurangan Guru Semakin Kritikal

SELASA, 21 FEBRUARI 2023

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi sekali lagi membangkitkan isu pendidikan terutama masalah kekurangan dan kekosongan guru yang kritikal di kawasannya pada persidangan Parlimen kali ini.

Menurut beliau, sejak tahun 2020, sebanyak tiga buah sekolah menengah di bawah penyeliaan Pejabat Pendidikan Daerah Daro belum mempunyai pengetua dan tujuh buah sekolah rendah belum diisi jawatan guru besar.

Manakala, bagi jawatan guru pula sebanyak 132 kekosongan belum diisi yang mana 24 orang guru sekolah menengah dan 108 orang guru sekolah rendah diperlukan.

“Ini satu masalah yang akan menjejaskan prestasi akademik para pelajar dan pengurusan sekolah.

“Sehingga kini tiada tindakan segera oleh Kementerian Pendidikan Malaysia berhubung masalah tersebut.

“Saya merayu dan memohon Menteri Pendidikan yang baharu memberi fokus dan keutamaan kepada isu ini dengan mengambil langkah segera untuk mengatasi masalah kekurangan guru di Sarawak,”katanya.

Beliau berkata demikian menerusi perbahasannya di Dewan Rakyat pada Isnin.

Menekan isu sama, beliau turut mempersoalkan mengenai status calon yang lulus Program Kelayakan Profesional Pemimpin Pendidikan Kebangsaan (NPQEL) tahun 2021 yang sehingga kini masih belum ada surat kelulusan untuk ditempatkan sebagai Guru Besar.

Tegasnya, Kementerian Pendidikan Malaysia perlu memberi perhatian berhubung perkara tersebut.

Di samping itu juga, beliau memohon penambahan kuota bagi guru sekolah di luar bandar untuk mengikuti kursus NPQEL serta mencadangkan supaya kebenaran mengikuti kursus NPQEL turut diberikan kepada guru-guru yang dilantik sebagai Guru Besar.

Dalam perbahasan tersebut, Ahmad Johnie juga menyentuh mengenai nasib 326 calon guru dari Sarawak yang tidak berjaya dalam pengambilan Pegawai Pendidikan DG41 Perkhidmatan Kontrak (COS) pada tahun 2021.

Melihat kepada perkara itu, beliau merayu kepada Menteri Pendidikan agar calon-calon berkenaan diambil dan diberi kuota tambahan khas untuk anak Sarawak.

Ujarnya, Kementerian Pendidikan Malaysia seharusnya memberi sedikit peluang kepada lepasan graduan daripada Sarawak menjadi guru tetap dengan sedikit kelonggaran.

“Untuk makluman, mereka ini telah menduduki dan lulus ujian kelayakan calon guru malah mereka mempunyai cukup pengalaman sebagai guru ganti, guru sandaran, guru MySTEP dan guru KAFA di sekolah kerajaan dan ada calon yang mempunyai pengalaman mengajar di institusi swasta, sekolah swasta, pusat tuisyen dan sebagainya.

“Mereka telah mendapat maklum balas yang positif daripada panel semasa sesi temuduga cuma tidak berjaya kerana bilangan kuota terhad diluluskan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan.

“Dalam perkara ini, saya sanggup berjumpa dengan Menteri Pendidikan untuk perbincangan lanjut.

“Jika mereka ini diterima secara kuota khas, itu hanyalah 10 peratus daripada kekosongan guru seramai 3,285 orang dan pengambilan mereka ini sekurang-kurangnya dapat sedikit menyelesaikan masalah kekurangan guru di Sarawak,”jelasnya. -Edisi UKAS

add comment