MAFS Laksana Langkah Atasi Kenaikan Kos Makanan Ternakan Ayam

KHAMIS, 23 FEBRUARI 2023

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) telah melaksanakan beberapa langkah jangka pendek dan jangka panjang bagi mengatasi kenaikan kos makanan ternakan ayam pedaging dan ayam penelur.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, langkah jangka pendek ialah dengan memberi subsidi kepada penternak ayam pedaging dan ayam penelur mulai 5 Februari 2022.

Menurut beliau, subsidi tersebut bagi membantu mengatasi kenaikan kos pengeluaran.

“Sehingga 14 Februari 2023, sebanyak 18,880 permohonan bernilai RM1.69 bilion subsidi telah diluluskan kepada penternak,” katanya.

Antara langkah jangka panjang pula ujarnya ialah dengan mengurangkan kebergantungan kepada sumber jagung import sebanyak 30 peratus menerusi inisiatif penanaman jagung bijian dalam negara yang berkeluasan sehingga 80,000 hektar.

“Pengurangan ini menyasarkan pengeluaran jagung bijian tempatan sebanyak 1.44 juta tan metrik menjelang tahun 2032,” ujar beliau.

Selain itu, menjalankan kajian bagi menghasilkan bahan mentah gantian dari sumber tempatan berasaskan isirung sawit seperti PKC/PKE.

Ia termasuk melaksanakan kajian bagi makanan ternakan ayam berasaskan sumber alternatif larva Black Soldier Fly (BSF) di bawah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dengan kerjasama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

Menerusi langkah sama, pinjaman mudah melalui Agrobank sebanyak RM300 juta turut ditawar kepada penternak ayam melalui Dana Pembiayaan Agromakanan untuk membantu penternak mengatasi masalah modal pusingan kewangan yang terjejas akibat kenaikan kos pengeluaran.

Beliau berkata demikian menerusi jawapan lisan bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Betong, Dr. Richard Rapu dalam Persidangan Parlimen pada Khamis.

Sebelumnya, Dr. Richard bertanya mengenai perancangan KPKM dalam mengatasi masalah kenaikan kos bahan mentah untuk makanan ternakan yang menyebabkan kenaikan kos pengeluaran produk seperti daging ayam dan telur.-Edisi UKAS

add comment