KHAMIS, 23 FEBRUARI 2023
KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Sarawak berhasrat untuk memajukan Pelabuhan Bintulu sebagai Pelabuhan Negeri, sekaligus dibangunkan sebagai hab pengangkutan utama di rantau Asia Pasifik.
Ahli Perlimen Lubok Antu, Roy Angau Gingkoi memohon agar kerajaan pusat mengambil kira hasrat kerajaan Negeri Sarawak untuk tidak meneruskan status Pelabuhan Bintulu sebagai Pelabuhan Persekutuan.
Beliau berkata, “Pelabuhan dan pangkalan adalah merupakan salah satu perkara di bawah senarai negeri seperti yang termaktub di dalam perkara 95B (1)(a) Senarai II, Jadual Sembilan Perlembagaan Persekutuan.
“Dalam hal ini, kerajaan pusat wajar mengambil kira hasrat kerajaan Sarawak untuk tidak meneruskan status Pelabuhan Bintulu sebagai Pelabuhan Persekutuan bagi membolehkan Pelabuhan Bintulu dimajukan sebagai Pelabuhan Negeri sekaligus sebagai hab (rangkaian) pengangkutan utama di rantau Asia-Pasifik.”
Beliau berkata demikian dalam Usul Menjunjung Kasih & Titah Diraja semasa Persidangan Parlimen pada Selasa.
Tambahnya, data dari Unit Perancangan Ekonomi Sarawak pada tahun 2021 menyatakan bahawa Sarawak telah menyumbang 9.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
“Sarawak merupakan penyumbang yang ketiga terbesar di negara Malaysia selepas Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
“Maka pada hemah saya, hasrat Sarawak untuk meletakkan Pelabuhan Bintulu di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri adalah satu permintaan yang munasabah dan wajar dipertimbangkan,” ujarnya lagi.
Beliau yakin hal ini akan memudahkan sistem kawal selia yang lebih efisien terhadap pelabuhan tersebut sekaligus merancakkan ekonomi negara. -Edisi UKAS