MOTS Ikrar Bantu Pengusaha Bas Sarawak

KHAMIS, 23 FEBRUARI 2023

KUCHING: Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) menyatakan komitmennya untuk membantu menyelesaikan isu-isu yang dihadapi oleh Persatuan Syarikat Pengangkutan Bas Sarawak. 

Menurut Menterinya Dato Sri Lee Kim Shin, beliau berjanji akan membawa perkara ini kepada agensi berkaitan seperti Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Kementerian Pengangkutan Persekutuan Malaysia. 

Ia dijelaskan oleh Dato Sri Lee dalam satu kenyataan selepas menerima kunjungan hormat Pengerusi Persatuan Syarikat Pengangkutan Bas Sarawak, Mohd Atan Abdullah di pejabatnya di Kuching pada Khamis.

Dalam pertemuan tersebut, Mohd Atan menjelaskan mengenai beberapa perkara dan isu yang dihadapi oleh persatuan tersebut termasuk kekurangan pemandu bas, jumlah tambang bas, permit operasi dan terminal bas wilayah. – EDISI UKAS

add comment