KHAMIS, 23 FEBRUARI 2023
KUCHING: Kerajaan Sarawak menubuhkan Lembaga Amanah Kebajikan Rejimen Askar Wataniah Sarawak (LAKRAWS) sebagai badan khusus yang mengurus kebajikan askar wataniah di negeri ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato’ Sri Fatimah Abdullah berkata, LAKRAWS akan mengurus dan mentadbir hasil sumbangan yang diberikan oleh mana-mana pihak dengan betul untuk manfaat askar wataniah di Sarawak.
“Pada 7 Disember 2022, jawatankuasa telah bermesyuarat dan memutuskan untuk menubuhkan satu Lembaga Amanah yang dinamakan Lembaga Amanah Kebajikan Rejimen Askar Wataniah Sarawak (LAKRAWS) dan ia akan berfungsi sebagai pihak pentadbir untuk menguruskan amanah amal.
“Ia akan memberi tumpuan kepada kebajikan dan tujuan amal yang lain untuk askar wataniah Sarawak.
“Pembentukan LAKRAWS adalah untuk memastikan semua pemberian dan sumbangan yang diberi diurus dengan baik dan membantu kesejahteraan askar wataniah ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas melakukan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Wisma Bapa Malaysia di sini pada Khamis.
Hadir sama dalam kunjungan hormat berkenaan ialah Timbalan –Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Rosey Yunus dan Mohamad Razi Sitam.
Dato Sri Fatimah juga memberitahu LAKRAWS ini dianggotai oleh Pengerusinya iaitu Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Pengerusi iaitu Pengarah Jabatan Tanah dan Survei Datu Abdullah Julaihi, Setiausaha iaitu Rektor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sarawak Profesor Dr. Jamil Hamali, Bendahari Abang Mohamad Shibli Abang Mohamad Naili serta pemegang amanah ialah Zaidi Razak, Lina Nyurang, Ling Kiong Hua dan Ling Weu Huo.
Selain itu, beliau memberitahu, kunjungan hormat berkenaan juga bertujuan menunjukkan Anugerah Reka Bentuk London yang telah dimenangi menerusi pembangunan aplikasi iSarawakCare oleh Kementeriannya bersama dengan Lembaga Multimedia Sarawak (SMA), Unit Pemodenan Perkhidmatan Negeri (SSMU) dan pereka bentuk sistemnya iaitu daripada SOCOE Sdn Bhd pada Disember lepas.
Tambah Dato Sri Fatimah juga, kunjungan berkenaan juga bagi menjemput Premier Sarawak untuk menghadiri sambutan Hari Wanita Peringkat Negeri yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Penview (PCC) pada 18 Mac ini.
“Dalam program Hari Wanita biasanya selain daripada ucapan aluan daripada menteri kemudian ucapan perasmian Premier Sarawak, kita juga akan sampaikan anugerah kepada tokoh-tokoh seperti tahun-tahun lepas iaitu Anugerah Datuk Patinggi Laila Taib, Anugerah Kepimpinan Wanita, Anugerah Keusahawanan, Anugerah Penggiat Sosial Wanita, Anugerah Premier Sarawak Pencapaian Khas dan Anugerah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Cemerlang.
“Jadi ini antara anugerah-anugerah yang akan disampaikan sebagai pengiktirafan kepada sumbangan wanita kita di Sarawak dan mengiktiraf ketokohan mereka dalam bidang tertentu,” jelasnya lagi.
Sejurus kunjungan hormat daripada Dato Sri Fatimah dan rombongan, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari menerima kunjungan hormat daripada Duta Besar Malaysia ke Brazil Gloria Corina Tiwet.
Gloria Corina telah menerima watikah pelantikan sebagai Duta pada 9 Februari lepas.
Pelantikan itu telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, Kuala Lumpur.-Edisi UKAS