KHAMIS, 23 FEBRUARI 2023
KUALA LUMPUR: Isu sekolah usang atau daif yang masih banyak terdapat di Sarawak amat memerlukan perhatian kerajaan pusat dengan segera.
Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee menegaskan bahawa di Sarawak terdapat lebih daripada 1020 buah sekolah usang dan daripada jumlah itu, sebanyak 415 sekolah dianggap terlalu usang.
“371 sekolah tidak mempunyai bekalan elektrik dan bergantung sepenuhnya kepada set penjana.
“428 sekolah tidak mempunyai bekalan air yang dirawat dan 721 sekolah tidak mempunyai akses jalan yg baik termasuklah 200 yang hanya di akses melalui laluan sungai.”
Beliau berkata demikian semasa Usul Menjunjung Kasih & Titah Diraja dalam Persidangan Parlimen pada Selasa.
Ujarnya lagi, keadaan fizikal sekolah-sekolah daif ini bukan sahaja mewujudkan ketidakselesaan semasa proses pengajaran dan pembelajaran malah ianya juga membahayakan nyawa guru dan murid sekolah terbabit.
“Sebagai contoh, di kawasan saya di Batang Sadong, terdapat 15 buah sekolah daif atau uzur di mana bangunannya memerlukan baikpulih dengan kadar yang segera,” tegasnya beliau.
Justeru, beliau memohon agar isu dan permasalahan ini akan diberi perhatian segera oleh kerajaan untuk mengelakkan pelajar yang terlibat terus berasa tersisih daripada menikmati segala kemudahan yang berhak mereka nikmati. – Edisi UKAS