Belanjawan 2023: Sarawak Terus Raih Manfaat

JUMAAT, 24 FEBRUARI 2023

KUALA LUMPUR: Sarawak tidak terlepas meraih manfaat besar menerusi Belanjawan 2023 apabila menerima peruntukan pembangunan sebanyak RM5.6 bilion.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan khusus yang dibentang di bawah ikhtiar ke-11 itu melibatkan perancangan untuk membangunkan bandar-bandar bersempadan dengan Kalimantan, Indonesia dengan kos RM1 bilion.

Menurut beliau, ia bagi menyokong pembangunan sekitarnya susulan perpindahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan.

Selain itu, Dato’ Seri Anwar turut memaklumkan bahawa lebih RM2.5 bilion telah disedia bagi melaksana beberapa projek melibatkan prasarana awam antaranya projek jalan, lampu jalan serta bekalan air dan elektrik.

Dalam masa sama jelasnya, kerajaan komited menerus dan menyegerakan pelaksanaan lebuh raya Pan Borneo Sabah dan Sarawak termasuk Sarawak Sabah Link Road (SSLR) yang dianggar melibatkan kos keseluruhan RM20 bilion dengan jajaran lebih daripada 1,000 kilometer.

“Timbalan Perdana Menteri 2 diamanah untuk menyelenggarakan ini kerana kita tidak mahu kisah Lebuhraya Pan Borneo ini diceritakan dalam setiap belanjawan sehingga hampir 20 tahun.

“Jadi kita mahu menyegerakan supaya projek ini dapat diselesaikan dalam masa yang terdekat,”katanya semasa membentangkan Belanjawan 2023 dalam persidangan Dewan Rakyat pada Jumaat.

Tambah Dato’ Seri Anwar lagi, kerajaan bertekad dan berikrar untuk menyerahkan kuasa melulus bagi perolehan projek Persekutuan kepada Jabatan Teknik di Sabah dan Sarawak sehingga RM50 juta bagi mempercepat pelaksanaan projek.

“Projek-projek untuk Sabah dan Sarawak yang mencecah RM50 juta dikendalikan sendiri oleh kerajaan negeri Sabah dan Sarawak,”tambah beliau.

Tidak hanya itu, beliau juga memberi keyakinan bahawa kerajaan di bawah pimpinannya sentiasa komited untuk menambah baik kadar pemberian khas kepada Sabah dan Sarawak dan rundingan untuk formula baharu bagi kedua-dua negeri terbabit akan disegerakan.

Bertemakan ‘Membangun Malaysia MADANI’ Belanjawan 2023 membabitkan peruntukan RM388.1 bilion itu menumpukan 12 ikhtiar utama berlandaskan tiga tekad iaitu pemacuan ekonomi yang terangkum dan mampan, reformasi institusi dan tatakelola bagi memulih keyakinan serta keadilan sosial untuk menyederhana kesenjangan.-Edisi UKAS

add comment