MAFS Sedang Teliti Penubuhan Lembaga Baja

KHAMIS, 23 FEBRUARI 2023

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) sedang meneliti penubuhan Lembaga Baja melalui penggubalan Rang Undang-undang (RUU) Baja.

Menurut Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, penubuhan lembaga dan penggubalan RUU itu bertujuan mengawal selia industri baja negara serta memastikan semua baja yang diimport, dieksport, dikilang dan dijual dalam negara dijamin berkualiti dan selamat untuk digunakan.

“RUU tersebut sedang di peringkat semakan Pejabat Peguam Negara dan akan dibawa untuk pertimbangan Jemaah Menteri sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat,” katanya.

Ujar Ahli Parlimen Kota Raja itu lagi, Lembaga Racun Makhluk Perosak juga telah wujud di bawah Akta Racun Makhluk Perosak 1974 (Akta 149) yang dikuatkuasakan oleh Bahagian Kawalan Racun Perosak dan Baja, Jabatan Pertanian.

Jelasnya, lembaga berkenaan berfungsi mengawal selia aktiviti berkaitan racun makhluk perosak di dalam negara melibatkan aktviti pengimportan, pengilangan, pengiklanan, penjualan dan penggunaan racun makhluk perosak melalui pendaftaran dan perlesenan.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin dalam persidangan Dewan Rakyat pada Rabu.

Tambah Datuk Seri Mohamad Sabu, hala tuju sektor pertanian negara telah digariskan melalui Dasar Agromakanan Negara 2021 hingga 2030 (DAN 2.0) yang memberikan tumpuan kepada tiga prinsip utama.

“Prinsip pertama adalah sektor agromakanan berdaya saing dan inovatif yang boleh meningkatkan nilai tambah output pertanian dan memberi fokus kepada potensi eksport.

“Kedua, kesejahteraan pengeluar makanan dan keterangkuman dalam pembangunan sektor.

“Manakala prinsip ketiga adalah anjakan paradigma ke arah suatu sistem makanan yang mampan serta bersesuaian dengan perubahan iklim,” jelas beliau.

Datuk Willie sebelumnya ingin mengetahui mengenai dasar dan hala tuju sektor pertanian dan perladangan negara sekaligus bertanya sama ada MAFS berhasrat menubuhkan Lembaga Baja dan Racun untuk membantu para peladang dan petani dalam negara.

Untuk rekod, DAN 2.0 mempunyai lima teras utama yang memfokuskan kepada aspek dan komponen seperti mendukung pemodenan dan pertanian pintar, memperkukuh pasaran domestik, meningkatkan hasil keluaran
yang mempunyai permintaan tinggi dan produk berorientasikan eksport, membangun bakat yang memenuhi permintaan industri, meningkatkan amalan pertanian dan sistem makanan yang mampan serta menyediakan ekosistem perniagaan yang kondusif dan kerangka institusi yang kukuh.-Edisi UKAS

add comment