JKM Berjaya Anjur 70 Program DET, Libat Hampir 3,000 Peserta

KHAMIS, 23 FEBRUARI 2023

KUALA LUMPUR: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah berjaya menganjurkan sebanyak 70 program ‘Disability Equality Training’ (DET) melibatkan hampir 3,000 peserta dalam usaha meningkatkan kefahaman dan penerimaan masyarakat terhadap Orang Kurang Upaya (OKU) sekaligus memberi pendedahan tentang isu ketidakupayaan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Dato Sri Nancy Syukri berkata, penganjuran menerusi Jabatan Pembangunan Orang Kurang Upaya (JPOKU) itu dilaksanakan secara berkala sejak tahun 2018 sehingga 2022 kepada kementerian dan agensi kerajaan serta Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).

Sehubungan itu ujarnya, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengeluarkan pekeliling perkhidmatan bilangan 16 tahun 2010 iaitu pencapaian dasar 1 peratus ruang pekerjaan dalam perkhidmatan awam kepada OKU.

“Dalam hal ini suka saya maklumkan bahawa KPWKM dan agensi-agensi di bawahnya memiliki peratusan kakitangan OKU sebanyak 2.16 peratus iaitu melebihi daripada dasar 1 peratus yang disasarkan oleh JPA,”katanya dalam persidangan Parlimen di Dewan Rakyat pada Rabu.

Menyentuh kepada akta pindaan OKU pada tahun 2008 yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Tumpat Dato’ Mumtaz Md Nawi dan Ahli Parlimen Rantau Panjang Ustazah Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff, beliau memaklumkan bahawa pada masa ini, KPWKM sedang meneliti cadangan pindaan kepada akta yang diterima daripada pelbagai pihak berkepentingan.

Menurutnya, penelitian itu dilaksana pada tahun 2022 menerusi empat sesi bengkel semakan akta tersebut.

“Dalam hal ini Pasukan Petugas Khas Semakan Akta OKU 2008 telah dilantik untuk mengenalpasti peruntukan akta berkenaan yang memerlukan pindaan atau penambahbaikan.

“Ia dianggotai pegawai kementerian serta jabatan berkaitan, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan ahli-ahli akademik bagi tempoh dua tahun bermula 13 Februari 2023 ini sehingga 12 Februari 2025,” ujarnya.-Edisi UKAS

add comment