LPPKN Tawar Pelbagai Program Pendidikan Keibubapaan & Kekeluargaan

KHAMIS, 23 FEBRUARI 2023

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) telah menawarkan pelbagai program pendidikan keibubapaan dan kekeluargaan yang dilaksanakan melalui LPPKN negeri di seluruh negara.

Menterinya, Dato Sri Nancy Syukri berkata, ia bagi memberi peluang penyertaan yang menyeluruh ke dalam program-program yang dianjurkan oleh LPPKN.

Menurutnya, program-program tersebut telah memberi manfaat kepada lebih 165,000 peserta sejak ia mula diperkenalkan sejak 10 tahun yang lalu iaitu dari 2013 hingga 2022.

“Antara program yang ditawarkan adalah Kursus Pra Perkahwinan SMARTSTART, kita ada 29,143 peserta, Program Ilmu Keluarga sebanyak 42,072 peserta, Program Pengurusan Kewangan Keluarga Smart Belanja sebanyak 31,220 peserta, Program Pendidikan Keselamatan Keluarga dan Anak (PEKA) sebanyak 18,835 peserta dan Kursus Mengimbangi Keluarga dan Kerjaya sebanyak 44,059 peserta,” jelasnya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Mumtaz Md Nawi dalam persidangan Dewan Rakyat pada Rabu.

Selain itu, Dato Sri Nancy memberitahu, program-program berkenaan juga mampu untuk disertai oleh pelbagai latar belakang ekonomi dengan kadar bayaran yang dikenakan adalah amat munasabah berdasarkan peraturan yuran dan caj yang ditetapkan di bawah Akta Penduduk dan Pembangunan Keluarga 1966 pindaan 2006.

“Yuran yang dikenakan adalah antara RM20 sehingga RM70 untuk peserta kerajaan manakala bagi peserta persendirian dan swasta, yuran yang dikenakan adalah antara RM30 hingga RM90.

“Selain itu LPPKN turut melaksanakan program yang dinyatakan dengan kerjasama Badan Bukan Kerajaan (NGO) malah ada di antara program yang dilaksanakan ini boleh disertai secara percuma kepada peserta yang layak,” ujarnya.

Justeru, Ahli Parlimen Santubong itu amat menggalakkan semua negeri bekerjasama dengan LPPKN untuk menganjurkan program seumpamanya supaya ia dapat membantu mengimbangkan keadaan kekeluargaan dalam negara.-Edisi UKAS

add comment