JUMAAT, 24 FEBRUARI 2023
MIRI: Sarawak FAMA Fest 2023 (SAFF 2023) menjadi platform untuk mengetengahkan produk tempatan kepada masyarakat Sarawak dan juga pengguna dari negara Brunei Darussalam.
Menurut Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Chan Foong Hin, majoriti daripada 40 usahawan yang berjual di program tersebut merupakan usahawan Sarawak yang mengeluarkan produk buatan tempatan.
“Oleh kerana negara Brunei adalah berhampiran dengan Miri, maka kita juga berharap program ini menjadi haluan untuk kita mempromosikan produk tempatan kepada pengguna dari negara jiran itu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian SAFF 2023 di sini pada Khamis.
Dalam pada itu, beliau menyasarkan jumlah jualan sekitar RM400,000 sepanjang empat hari penganjuran pesta tersebut iaitu dari 23 hingga 26 Februari 2023.
Sementara itu, Chan memberitahu, SAFF 2023 turut menjadi medium untuk pihak berminat membuat padanan perniagaan bersama dengan usahawan Sarawak.
“Jadi pesta ini tidak sekadar mempromosikan jualan dan pameran sahaja. Orang yang berminat untuk berjumpa dengan usahawan juga boleh membuat padanan perniagaan dan FAMA bersedia untuk membantu dalam usaha sebegini,” ujarnya lagi.
Katanya, penganjuran program seumpamanya penting bagi mengetengahkan hasil tambah nilai membabitkan produk pertanian selaras dengan visi Sarawak untuk menjadi pengeksport makanan bersih ke seluruh Malaysia dan juga luar negara menjelang tahun 2030.
Pelbagai aktiviti menarik disediakan sepanjang penganjuran SAFF 2023 di Bintang Mega Mall Miri antaranya aktiviti padanan perniagaan, Jualan Terus Dari Ladang (JTDL), promosi dan jualan produk Industri Asas Tani (IAT) Usahawan serta produk agromas, Kempen Makan Buah-Buahan Tempatan, pertandingan newarna kanak-kanak dan pertandingan gubahan buah-buahan tempatan serta aktiviti bermukun.
Turut hadir Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail dan Timbalan Residen Bahagian Miri Juan Abit. -EDISI UKAS