TVET Lengkapkan Lepasan Sekolah Dengan Kemahiran Khusus

JUMAAT, 24 FEBRUARI 2023

KUCHING: Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) memainkan peranan yang penting dalam melengkapkan lepasan sekolah dengan kemahiran yang khusus.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) Datuk Francis Harden Hollis berkata pendidikan TVET penting untuk lepasan sekolah yang tidak dapat melanjutkan pelajaran ke universiti.

Menurut beliau, pendidikan TVET memberikan peluang kepada lepasan sekolah ini untuk mempelajari kemahiran khusus dan mendapatkan sijil supaya mereka boleh diambil bekerja oleh industri-industri.

“Ini bukan sahaja untuk lepasan sekolah di luar bandar atau pedalaman, pendidikan TVET adalah untuk semua yang tidak dapat melanjutkan pelajaran,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Persidangan Brunei Darussalam–Indonesia–Malaysia–Philippines East ASEAN Growth Area (BIMP-EAGA) TVET 2023 Ke-3 di sebuah hotel di sini pada Jumaat. 

Datuk Francis menegaskan bahawa semua graduan pendidikan TVET harus bersiap sedia untuk semua industri terutamanya di Sarawak, Malaysia dan luar negara. 

Katanya lagi, MEITD akan melatih lebih ramai graduan pendidikan TVET yang kemudiannya boleh bekerja di Indonesia atau Brunei, bukan sahaja di Malaysia.

Persidangan yang bertemakan ‘TVET untuk Memacu Inovasi dan Pembangunan Bakat’ ini merupakan kali pertama diadakan di Kuching dan akan bermula pada 8 sehingga 9 Mac ini di Hotel Pullman.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr. Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dijangka akan merasmikan persidangan tersebut.

Turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Anielia Siam, Ketua Pegawai Komersial Sarawak Skills Development Centre Mohamad Isham Fauzi, Ketua Pegawai Kewangan Sarawak Skills Development Centre Asri Abdullah dan Timbalan Pengarah Eksekutif Sarawak Skills Development Centre Zakri Md Salleh. -EDISI UKAS

add comment