Kerajaan Sarawak Sambut Baik Peruntukan Dalam Belanjawan 2023

SABTU, 25 FEBRUARI 2023

KUCHING: Kerajaan Sarawak menyambut baik peruntukan yang diberikan oleh Kerajaan Pusat kepada negeri ini dalam Belanjawan 2023 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Dato Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg turut merakamkan ucapan penghargaan kepada Dato Seri Anwar atas pemberian peruntukan sebanyak RM5.6 bilion untuk membangunkan infrastruktur negeri ini.

Dalam pada itu katanya, beliau turut menyambut baik pendekatan yang diambil oleh kerajaan pusat untuk membaik pulih sekolah daif dan klinik.

“Saya mengucap terima kasih kepada Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Dato Seri Anwar Ibrahim yang telah memberi peruntukan sebanyak RM5.6 bilion kepada Sarawak dan saya menyambut baik pendekatan untuk membaik pulih sekolah dan klinik.

“Ini yang penting untuk kita di Sarawak dan saya rasa walaupun jumlahnya tidak mencukupi, saya rasa terima kasihlah,” katanya kepada media selepas melakukan lawatan ke tapak projek jalan Sungai Maong ke Segedup di sini pada Sabtu.

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari menambah, meskipun jumlah peruntukan untuk Sarawak itu tidak mencukupi, Kerajaan Sarawak yang dipimpin Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan meneruskan usaha membangunkan negeri ini dengan menggunakan dana sendiri.

“Kerajaan Sarawak memang kita nak membantu rakyat kerana itu kita membuatkan jalan pantai untuk membantu mereka yang disebut sebagai penduduk kawasan kemiskinan.

“Dengan ada jalan raya, bekalan elektrik dan bekalan air ini saya telah cakap dengan Perdana Menteri bahawa Sarawak akan teruskan.

“Saya memang menyambut baik walaupun dari sudut jumlah tidak mencukupi RM5.6 bilion.

“Namun demikian kerajaan Sarawak akan teruskan usaha daripada dana kita sendiri,” ujar beliau lagi.-Edisi UKAS

add comment