Kerajaan Sarawak Tingkat Keselamatan Penternakan Khinzir

SABTU, 25 FEBRUARI 2023

KUCHING: Kerajaan Sarawak sedang melihat usaha bagi meningkatkan keselamatan penternakan khinzir kepada biosekuriti berteknologi tinggi, jelas Menteri Pemodenan Pertanian Dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom. 

Katanya, ia amat penting bagi mencegah dan mengurangkan masalah kekurangan bekalan serta jangkitan penyakit Demam Babi Afrika (ASF).

“Setakat ini, hanya Kawasan Penternakan Khinzir (PFA) Pasir Puteh, Simunjan sahaja yang tidak terjejas dengan ASF.

“Justeru, kerajaan perlu melihat dan mengkaji cara penternakan khinzir secara besar-besaran menggunakan teknologi tinggi dengan biosekuriti yang ketat bagi mengurangkan masalah pada masa hadapan,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Hari Integriti dan Majlis Ikrar Bebas Rasuah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak di Hotel UCSI Kuching di sini pada Jumaat. 

Terdahulu semasa berucap, Dato Sri Dr Stephen menegaskan setiap warga Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (DVSS) perlu tahu, ingat dan faham erti integriti. 

“Ia bukan sahaja merangkumi rasuah tetapi ia sikap setiap daripada kita dalam menjalankan tanggungjawab dan tugas seharian kita sebagai penjawat awam.

“Sikap amanah dan bertanggungjawab ini amat penting dan perlu disemai dalam semua kakitangan DVSS agar dapat menjalankan tugas dengan baik dan sekaligus membantu kerajaan bergerak mencapai aspirasi Sarawak sebagai Net Food Exporter menjelang 2030,” ujarnya lagi. 

Turut hadir Timbalan Menteri Komoditi dan Pembangunan Wilayah Martin Ben, Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Sirai Daha, Pengarah DVSS Dr Adrian Susin Ambud, Pengarah Unit Integriti & Ombudsman Sarawak Semawi Mohamad dan Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak Maini William.-EDISI UKAS 

add comment